Subsidi diteruskan, harga RON95 kekal RM1.99 seliter - Akmal Nasrullah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Subsidi diteruskan, harga RON95 kekal RM1.99 seliter - Akmal Nasrullah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Mac – Kerajaan akan mengekalkan pemberian subsidi untuk RON95 dengan harga semasa RM1.99 seliter meskipun berlaku kenaikan harga minyak dunia akibat konflik antarabangsa, menurut Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

 

Beliau berkata secara lumrahnya, sebarang konflik yang berlaku akan mencetuskan lonjakan mendadak dalam harga minyak mentah, namun kerajaan sentiasa memantau indikator utama termasuk harga petroleum dan gas bagi memastikan pasaran domestik kekal stabil.

 

“Apabila berlaku konflik, harga minyak mentah memang akan naik dengan cepat. Kita pantau apa yang terjadi di Timur Tengah namun belum ada sebarang perubahan drastic dari segi dasar buat masa ini.

 

“Setakat ini, pemberian subsidi RON95 itu akan dikekalkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum CEOs OGSE 2026 hari ini.

 

Akmal menjelaskan mekanisme subsidi bersasar yang digunakan oleh kerajaan membolehkan harga minyak di peringkat domestik kekal pada tahap yang munasabah walaupun berlaku turun naik harga minyak global.

 

Beliau menambah peruntukan fiskal dan implikasi subsidi dinilai dengan teliti oleh Kementerian Kewangan bagi memastikan kedudukan kewangan negara tidak terjejas.

 

“Secara sejarah, apabila harga minyak mentah melebihi tahap tertentu, pendapatan syarikat minyak negara seperti Petronas meningkat. Namun, pada masa sama, beban subsidi kerajaan juga meningkat,” jelasnya.

 

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan komited untuk cuba mengekalkan harga RON95 itu meskipun berlaku ketegangan konflik di Timur Temah.

 

Akmal Nasrullah berkata perkembangan pasaran semasa tidak menunjukkan sebarang perubahan drastik, termasuk penyesuaian harga RON95 domestik.

 

“Kerajaan akan terus memantau harga Brent dan indikator lain serta bekerjasama dengan pemain industri bagi memastikan pasaran minyak dalam negara sentiasa stabil,” katanya. - DagangNews.com