Subsidi bersasar bantu Malaysia imbangi impak kejutan harga minyak global – Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Subsidi bersasar bantu Malaysia imbangi impak kejutan harga minyak global – Amir Hamzah

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 April - Pendekatan subsidi bersasar, disiplin fiskal serta kekuatan asas ekonomi membantu Malaysia mengekang impak turun naik harga minyak global, sekali gus mengekalkan kestabilan inflasi dan keyakinan pelabur.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, walaupun Malaysia merupakan pengeksport tenaga, negara masih terdedah kepada risiko import apabila harga minyak meningkat.

 

Namun katanya, mekanisme subsidi bersasar yang dilaksanakan kerajaan berjaya memastikan harga bahan api di pam kekal stabil walaupun kuota subsidi bulanan telah dikurangkan.

 

“Langkah ini turut membantu mengekalkan inflasi pada tahap sederhana antara 1.5% hingga 2.5%,” katanya dalam satu hantaran di LinkedIn.

 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Bloomberg mengenai aliran masuk kukuh ke dalam bon Malaysia ketika pasaran di negara membangun lain terkesan oleh konflik geopolitik melibatkan Israel yang disokong Amerika Syarikat dan Iran.

 

Artikel Berkaitan: Pelabur asing 'borong' bon Malaysia lebih AS$2 bilion, didorong peningkatan harga minyak mentah global – Bloomberg

 

Menurut Amir Hamzah, keupayaan Malaysia mengurus pendedahan terhadap turun naik harga minyak membezakannya dengan negara jiran yang turut berdepan tekanan kos tenaga.

 

Thailand, katanya, terpaksa mengurangkan subsidi diesel akibat peningkatan kos import tenaga, manakala Filipina mengisytiharkan darurat tenaga negara dan Brunei pula melaksanakan langkah kawalan bahan api.

 

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata disiplin fiskal melalui pengurangan defisit berterusan serta peningkatan kutipan hasil turut meningkatkan daya tarikan Malaysia di mata pelabur global.

 

“Hasil minyak masih penting, namun ekonomi negara kini lebih pelbagai dan tidak lagi terlalu bergantung kepada harga minyak seperti sebelum ini,” katanya.

 

Sehingga 2025, hasil petroleum menyumbang kurang daripada 20% kepada jumlah hasil Persekutuan berbanding lebih 30% sedekad lalu.

 

Beliau berkata, faktor seperti kestabilan mata wang, inflasi terkawal dan instrumen bon yang selamat menjadi antara tarikan utama kepada pelabur.

 

“Dalam persekitaran global yang dipenuhi ketidaktentuan geopolitik, Malaysia perlu dikenali sebagai ekonomi yang stabil dan berdaya tahan,” katanya. - DagangNews.com