Pelabur asing 'borong' bon Malaysia lebih AS$2 bilion, didorong peningkatan harga minyak mentah global – Bloomberg | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing 'borong' bon Malaysia lebih AS$2 bilion, didorong peningkatan harga minyak mentah global – Bloomberg

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 April – Aliran masuk dana asing ke pasaran bon Malaysia melonjak ketara apabila melebihi AS$2 bilion (RM8.07 bilion) setakat 19 Mac 2026, iaitu tertinggi dalam tempoh 10 bulan.


Perkembangan positif tersebut menurut laporan terbaharu Bloomberg, didorong oleh faktor kenaikan harga minyak mentah global dan pengukuhan prospek negara pengeksport petroleum seperti Malaysia.


Firma itu yang memetik data Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, situasi ini berbeza dengan pasaran hutang serantau seperti Thailand dan Indonesia merekodkan aliran keluar modal pada bulan lalu.


"Dana bon di pasaran sedang membangun menyaksikan aliran keluar hampir AS$1 bilion (RM4.03 bilion) hingga akhir Mac, mencerminkan sentimen berhati-hati pelabur ke atas risiko geopolitik," katanya.


Bagaimanapun, Malaysia pula berbeza daripada trend tersebut berikutan potensi peningkatan hasil berkaitan minyak yang mampu menyokong kedudukan fiskal negara serta mengekang tekanan inflasi.


Pengurus Portfolio Pendapatan Tetap di M&G Investments, Peerampa Janjumratsang berkata, permintaan terhadap bon Malaysia kekal kukuh disokong kestabilan makroekonomi, dan pengukuhan nilai ringgit.


Beliau menjangkakan bon Malaysia terus stabil sepanjang konflik di Timur Tengah dan mengekalkan pendirian 'overweight' terhadap pasaran tersebut disokong komitmen konsolidasi fiskal kerajaan.

 

KDNK_DagangNews


Analisis Bloomberg turut menunjukkan bon Malaysia antara paling berdaya tahan di negara-negara Asia sedang pesat membangun sejak 2022, termasuk ketika perang Rusia-Ukraine dan konflik di Asia Barat.


"Ketahanan itu disokong langkah kerajaan mengekalkan subsidi bahan api bagi melindungi pengguna domestik, berbeza dengan negara serantau lain dengan mengambil langkah kecemasan tenaga," katanya.


Selain itu jelas firma tersebut, jangkaan dasar monetari BNM yang kekal neutral turut menyokong pasaran bon tempatan, dengan inflasi tahun ini diunjur sederhana antara 1.5% hingga 2.5%.


Polisi semasa bank itu menunjukkan kadar dasar semalaman (OPR) dijangka tidak berubah dalam tempoh 12 bulan akan datang, berbanding beberapa negara serantau yang diramal menaikkan kadar faedah.


Ketua Penyelidikan Pendapatan Tetap Maybank Securities, Winson Phoon berkata, tekanan inflasi masih terkawal susulan subsidi bahan api, dan membolehkan BNM menumpu kepada kestabilan ekonomi.


Ini jelas beliau, termasuk pertumbuhan tanpa perlu mengetatkan dasar monetari secara agresif, dan berdasarkan situasi itu, ia menaikkan unjuran terhadap bon Malaysia kepada 'sederhana positif'.


"Keadaan ini mencerminkan jangkaan prospek pasaran yang diunjurkan masih kekal positif dalam persekitaran ketidaktentuan global," katanya. - DagangNews.com