Stratus Global yakin raih dua projek semikonduktor dengan potensi pelaburan sehingga AS$500 juta - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Stratus Global yakin raih dua projek semikonduktor dengan potensi pelaburan sehingga AS$500 juta - PublicInvest

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 Julai -  Stratus Global Holdings Berhad yakin memperoleh dua daripada empat projek semikonduktor yang sedang dibida pada tahun ini, dengan potensi memenangi kesemua projek tersebut menjelang FY2028.

 

Ini sekali gus akan membuka ruang pertumbuhan baharu kepada kumpulan dalam kitaran pengembangan industri semikonduktor global.

 

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, pengurusan menjangkakan projek-projek berkenaan akan menjadi pemacu utama pertumbuhan hasil kumpulan, terutama menerusi segmen Sistem Pengendalian Bahan Automatik (AMHS) yang mendapat manfaat daripada peningkatan pelaburan kilang semikonduktor (fab) berteknologi tinggi.

 

"Setiap projek yang sedang dibida dianggarkan bernilai antara AS$20 juta hingga AS$45 juta, manakala keseluruhan peluang automasi bagi empat kilang semikonduktor tersebut berpotensi mencecah AS$500 juta dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut PublicInvest, sekiranya kontrak yang dijangka berjaya diperoleh dimuktamadkan menjelang Julai atau Ogos, pihak pengurusan menjangkakan antara 50% hingga 60% hasil projek akan diiktiraf pada FY2027F, sekali gus memberikan potensi peningkatan ketara terhadap prestasi pendapatan kumpulan.

 

Dalam masa sama, Stratus turut membida kontrak daripada satu lagi pelanggan utama bagi projek Fasa 1 Plant 3 di wilayah utara, dengan anggaran nilai projek AMHS sebanyak AS$100 juta (RM408 juta).

 

Kumpulan itu juga berpeluang menyertai projek faundri yang lebih besar di bawah pembangunan Phase 2, dengan nilai projek dianggarkan sebanyak AS$250 juta, sekali gus menambah potensi pertumbuhan jangka panjang syarikat.

 

Kilang Semikonduktor Global Rancak Berkembang

Firma penyelidikan berkata, kedudukan buku pesanan serta peluang projek yang semakin berkembang meletakkan Stratus pada kedudukan kukuh untuk memanfaatkan kitaran pengembangan kilang semikonduktor global yang sedang berlangsung.

 

Pengeluar semikonduktor dunia dijangka melabur lebih daripada AS$500 bilion sehingga 2030 bagi membina fasiliti baharu serta memperluaskan kapasiti pengeluaran sedia ada, didorong peningkatan permintaan terhadap cip berprestasi tinggi khususnya bagi aplikasi kecerdasan buatan (AI).

 

Setiap kilang semikonduktor baharu bernilai berbilion dolar memerlukan pelaburan besar dalam infrastruktur AMHS canggih bagi memastikan proses pengeluaran lebih cekap, automatik dan berketepatan tinggi.

 

Seiring pengecilan teknologi proses semikonduktor, wafer menjadi semakin sensitif terhadap pengendalian manusia dan pencemaran persekitaran, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap sistem automasi yang lebih maju.

 

Teknologi nod lanjutan memerlukan sistem automasi berketepatan tinggi bagi melindungi kadar hasil pengeluaran (yield), memandangkan satu kecacatan sahaja boleh menyebabkan kerugian ribuan dolar bagi setiap wafer.

 

Peningkatan kerumitan operasi kilang semikonduktor yang dipacu perkembangan AI dijangka terus meningkatkan permintaan terhadap penyelesaian AMHS, segmen yang menyaksikan Stratus mempunyai keupayaan kejuruteraan dan pengalaman pelaksanaan projek untuk bersaing dalam pasaran tersebut. - DagangNews.com