KUALA LUMPUR 29 Okt — Strategi kitar semula modal dan penambahbaikan aset secara aktif yang sedang dilaksanakan Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan kukuh dalam jangka panjang, menurut penganalisis pasaran saham.
Firma penyelidikan CGS International (CGSI) berkata, langkah strategik ini akan membolehkan Sunway REIT mengekalkan pertumbuhan pengagihan pendapatan seunit (DPU) secara mampan, di samping meningkatkan hasil portfolio serta kualiti aset kumpulan untuk jangka masa panjang.
"Walaupun potensi kenaikan harga saham dilihat terhad, Sunway REIT dijangka terus mencatatkan pertumbuhan pendapatan stabil dalam tempoh FY25F hingga FY27F, disokong oleh pertumbuhan penggunaan swasta yang sihat serta sumbangan tambahan daripada aset baharu." katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sehubungan itu, CGSI mengekalkan saranan Hold terhadap saham Sunway REIT dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.16, berdasarkan model diskaun dividen (DDM) dengan kos ekuiti 8.5% dan kadar pertumbuhan terminal 2.0%.
Sunway REIT baru-baru ini mengumumkan pelupusan Sunway Hotel Seberang Jaya (SHSJ) kepada Sunway Medical Centre Penang Sdn. Bhd. dengan nilai pertimbangan sebanyak RM60 juta. Pelupusan ini dijangka selesai pada suku keempat tahun kewangan 2027 (4QFY27).
Walaupun SHSJ merupakan aset berusia 27 tahun, hasil pelupusan tersebut akan digunakan semula untuk membangunkan hotel baharu di atas Sunway Carnival Mall, yang dijangka siap pada akhir FY27 atau awal FY28.
CGSI berpendapat, strategi ini membolehkan Sunway REIT mengelak kehilangan pendapatan sewaan, di samping memanfaatkan aliran pengunjung tinggi di Sunway Carnival Mall bagi menjana kadar purata sewaan bilik (ARR) yang lebih tinggi berbanding hotel sedia ada.
Sementara itu Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, walaupun terdapat aktiviti kitar semula aset yang aktif, nisbah hutang (gearing) dijangka kekal sekitar 38%–41%, kerana hasil daripada pelupusan sebahagiannya menampung pembiayaan pembangunan baharu.
Katanya, sumbangan pendapatan bersih (NPI) SHSJ yang sederhana sebanyak kira-kira MYR3.2 juta akan digantikan dengan pendapatan daripada hotel baharu sebaik sahaja operasi bermula pada akhir tahun kewangan 2027 (FY27).
"Penyelarasan antara tempoh pelupusan dan siapnya hotel baharu ini memastikan peralihan yang lancar serta pencairan DPU yang minimum. Kami tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran FY25–27E, kerana kesannya terhadap DPU adalah tidak material," kata bank pelaburan itu.
Maybank IB menyifatkan pelupusan dan pelaburan semula ini sebagai langkah strategik yang wajar, mencerminkan pendekatan proaktif dalam kitar semula dan pembaharuan portfolio aset.
"Perlu diperhatikan bahawa kos pembangunan semula Sunway Pier telah meningkat kepada MYR462 juta (daripada MYR400 juta), menjadikan jumlah aktiviti pembangunan hartanah (termasuk hotel baharu) sebanyak MYR602 juta, atau 5.6% daripada jumlah nilai aset.
"Walaupun potensi kenaikan dalam jangka pendek adalah terhad, hotel baharu di atas Sunway Carnival Mall dan projek Sunway Pier yang sedang berjalan dijangka akan meningkatkan hasil portfolio dan keterlihatan pertumbuhan selepas FY27," katanya.
Sementara itu, MBSB Research mengekalkan saranan Neutral terhadap saham Sunway REIT dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.10, berdasarkan model diskaun dividen.
Penilaian Neutral dibuat berikutan potensi kenaikan harga saham yang terhad, manakala hasil dividen kekal mampat pada paras 4.6% selepas lonjakan harga saham baru-baru ini.
"Bagaimanapun, prospek pendapatan Sunway REIT dijangka kekal stabil, disokong oleh sumbangan kukuh daripada segmen runcit, termasuk prestasi baik Sunway Pyramid Mall dan Sunway Carnival Mall," katanya. - DagangNews.com








