Strategi IOI Corp memfokuskan produk sawit bernilai tinggi dijangka bantu atasi cabaran dalam segmen hiliran - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Strategi IOI Corp memfokuskan produk sawit bernilai tinggi dijangka bantu atasi cabaran dalam segmen hiliran - PublicInvest

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Mac – PublicInvest Research menjangkakan prestasi IOI Corporation Berhad kekal stabil dengan pertumbuhan sederhana pada tahun kewangan 2026 apabila syarikat itu kini memfokuskan kepada produk minyak sawit mentah (MSM) bernilai tinggi yang dijangka membantu mengimbangi cabaran dalam segmen hiliran.

 

Firma penyelidikan itu berkata pihak pengurusan kini menumpukan usaha untuk meningkatkan pengeluaran produk minyak sawit mentah bernilai tinggi termasuk yang mempunyai sijil RSPO, minyak organik dan rendah pencemaran.

 

“Langkah ini dilihat penting bagi mengurangkan kesan margin negatif dalam penapisan dan ketidaktentuan harga.

 

“Selain itu, IOI Corp turut menghasilkan produk Mineral Oil Saturated Hydrocarbons yang menawarkan margin lebih tinggi berbanding produk standard. Strategi ini membolehkan syarikat mengekalkan keuntungan walaupun pasaran penapisan masih mencabar,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

PublicInvest menjangka segmen penanaman huluan syarikat akan terus menunjukkan prestasi kukuh dengan pengeluaran tandan buah segar (FFB) dijangka meningkat antara 5% hingga 8% bagi tahun kewangan 2026, meskipun terdapat penurunan bermusim pada Februari.

 

“Faktor cuaca seperti kemarau di Johor dan banjir di Sabah dilihat memberi kesan minimum terhadap pengeluaran setakat ini. Sementara itu, penggunaan baja telah mencapai 60% daripada sasaran bagi separuh pertama tahun kewangan ini.

 

“Program penanaman semula juga berada di landasan yang betul dengan sasaran 10,000 hektar tahun ini, termasuk sebahagian yang dibawa dari tahun kewangan sebelumnya.

 

“Peningkatan hasil ini dijangka menyumbang kepada pengurangan kos pengeluaran sebanyak RM200 setiap tan metrik,” katanya.

 

Segmen hiliran syarikat masih menghadapi tekanan, terutamanya dalam penapisan dan oleokimia. Walaupun begitu, sumbangan incremental daripada syarikat berkaitan Bunge Loders Croklaan dijangka menambah pendapatan mulai tahun ini.

 

Loji baharu Bunge Loders Croklaan di New Orleans telah siap dan menyumbang antara 5% hingga 10% pertumbuhan tahunan manakala loji baharu di Amsterdam dijangka mula beroperasi pada September 2026.

 

Dalam usaha mempelbagaikan sumber hasilnya, IOI Corp juga sedang menambah luas ladang kelapa daripada 3,000 hektar kepada 5,000 hektar. Kompleks kilang minyak kelapa di Segamat dijangka mula beroperasi pada 2028, dengan kapasiti pemprosesan awal sebanyak 100,000 biji kelapa sehari.

 

PublicInvest berkata projek kelapa ini dijangka menyumbang antara RM50 hingga RM60 juta keuntungan sebelum cukai setahun apabila mencapai kapasiti penuh.

 

Ia dilihat sebagai sumber pendapatan tambahan yang berpotensi pada masa hadapan.

 

PublicInvest mengekalkan sasaran harga saham IOI Corp pada RM4.18, berdasarkan penilaian SOP. Walaupun pertumbuhan sederhana dijangka, EPS dan dividen syarikat dijangka meningkat secara berperingkat dari 2026 hingga 2028.

 

Segmen hiliran masih menjadi cabaran utama kerana margin negatif dalam penapisan dan ketidaktentuan harga CPO dan PKO. Projek baharu dalam kayu sawit dan kertas pulpa hanya dijangka memberi sumbangan bermula 2028, menjadikan impak jangka pendek terhad.

 

Ketidaktentuan cuaca juga menjadi faktor yang perlu diperhatikan kerana ia boleh menjejaskan pengeluaran FFB dan hasil keseluruhan ladang. Syarikat telah mengambil langkah untuk memastikan pengurusan ladang lebih efisien bagi mengurangkan risiko ini.

 

Keseluruhan, PublicInvest menilai IOI Corp sebagai syarikat stabil dengan peluang pertumbuhan melalui produk bernilai tinggi dan usaha baharu dalam segmen huluan dan lemak khas. 

 

Dengan strategi menumpukan pada produk premium dan pelbagai usaha baharu, IOI Corp dilihat mampu mengekalkan kestabilan kewangan dan memberikan pulangan sederhana kepada pemegang saham, walaupun cabaran segmen hiliran masih wujud. - DagangNews.com