KUALA LUMPUR 22 Okt – Straits Energy Resources Bhd akan melupuskan dua kapal tunda, T.G. Victoria 1 dan T.G. Victoria 3, yang dimiliki oleh anak syarikat tidak langsungnya, Victoria 1 Limited dan Victoria 3 Limited, kepada Sealion Limited dengan jumlah nilai pertimbangan agregat sebanyak AS$2.01 juta (kira-kira RM8.5 juta).
Menurut Straits Energy, urus niaga tersebut diklasifikasikan sebagai urusan pihak berkaitan berikutan kepentingan Datuk Seri Tiong Chiong Kui, yang merupakan pengarah dan pemegang saham dalam kedua-dua Victoria STS, syarikat induk utama kepada anak-anak syarikat berkenaan, serta Sealion Limited.
“Tiong berkecuali daripada semua perbincangan dan undian lembaga pengarah yang berkaitan dengan pelupusan itu,” kata Straits Energy dalam satu kenyataan.
T.G. Victoria 1 dibina pada tahun 1992 dengan jumlah berat kasar sebanyak 230 tan dan panjang 34.24 meter, manakala T.G. Victoria 3 dibina pada tahun 2001 dengan berat 199 tan dan panjang 32.82 meter.
Nilai pelupusan yang dipersetujui adalah lebih sedikit berbanding penilaian pasaran bebas, yang ditentukan berdasarkan prinsip pembeli dan penjual yang bersedia (willing-buyer, willing-seller basis).
Straits Energy menjelaskan hasil daripada jualan tersebut akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank, menyelesaikan hutang kepada pembekal dan syarikat berkaitan, serta mengurangkan kos operasi yang dikaitkan dengan aset bukan teras itu.
Pelupusan berkenaan dijangka selesai menjelang Disember 2025.
Syarikat itu berkata penjualan berkenaan tidak akan memberi kesan material terhadap pendapatan, aset bersih atau tahap hutang kumpulan dan tiada liabiliti tertunggak yang dikaitkan dengan kapal tunda tersebut selepas jualan selesai.
Baru-baru ni, Straits Energy melalui anak syarikatnya, Straits CommNet Solutions Sdn Bhd (SCS) bekerjasama dengan pengendali limbungan terkemuka, Horizon Shipyard Inter Globe (M) Sdn Bhd membangunkan limbungan kapal pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Horizon Shipyard merupakan syarikat bersekutu tidak langsung Straits dengan pegangan 20%, manakala SCS ialah entiti yang pakar dalam rumusan transformasi digital, termasuk Internet Benda (IoT), automasi, AI, dan perkhidmatan telekomunikasi.
Kerjasama ini bertujuan membangunkan limbungan kapal pintar yang mengintegrasikan kuasa solar, sistem pemantauan keselamatan AI dan dron, sistem ERP dan CRM, serta sistem analitik pintar. - DagangNews.com








