KUALA LUMPUR 9 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 akan diawalkan dan mula dikreditkan secara berperingkat mulai 10 Mac 2026.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pembayaran itu akan memberi manfaat kepada 5.2 juta penerima khususnya bagi membuat persiapan menjelang perayaan Aidilfitri.
Menurutnya, jumlah penerima bagi Fasa 2 meningkat kepada 5.2 juta membabitkan peruntukan RM1.3 bilion, berbanding RM1.1 bilion kepada lima juta penerima pada Fasa 1.
“Ini termasuk 200,000 penerima baharu yang diluluskan yang akan menerima bayaran mulai 30 Mac 2026.
“Secara keseluruhan, bantuan STR Fasa 2 akan memanfaatkan 3.8 juta isi rumah serta 1.4 juta warga emas tiada pasangan, dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM600 mengikut kategori kelayakan,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga KPDN di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, peluasan penerima STR Fasa 2 membolehkan lebih ramai rakyat menikmati manfaat bantuan sosial kerajaan, khususnya ketika negara menghampiri Aidilfitri.
“Melalui STR, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta SARA Untuk Semua, Kerajaan MADANI terus berusaha memastikan hasil negara dapat dikongsi dan dimanfaatkan oleh rakyat, terutama golongan yang memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, bagi tahun 2026, peruntukan keseluruhan STR dan SARA berjumlah RM15 bilion, kekal yang tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan.
Katanya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut serta Soalan Lazim (FAQ) melalui portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my.
Kementerian Kewangan turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan, serta hanya merujuk kepada portal rasmi STR untuk maklumat terkini. - DagangNews.com












