KUALA LUMPUR 12 Feb — Penyedia penyelesaian mobiliti terkemuka dunia, Stellantis, telah membentuk perkongsian strategik dengan Penang Science Cluster (PSC) bagi memperluaskan akses pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang berkualiti di Kedah.
Syarikat tersebut yang juga pengeluar kenderaan keempat paling besar di peringkat global itu malahan berhasrat memupuk generasi baharu pereka cipta inovasi masa depan di negeri berkenaan menerusi pelbagai program jangka panjang yang akan dilaksanakan.
Pengambilan pelajar dalam aliran STEM di Kedah secara konsisten adalah kecil dari tiga sehingga 10 peratus iaitu di bawah kadar purata nasional, malahan menyaksikan aliran turun sebanyak dua sehingga lima peratus dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Kemasukan yang rendah itu sebahagian besarnya disebabkan oleh kekurangan minat dan akses terhad kepada STEM yang berkualiti tinggi sehingga penting untuk dibangunkan semula pendekatan baharu dalam memupuk minat pendidikan berkenaan dalam kalangan pelajar.
Menurut kenyataan, kerjasama Stellantis dengan PSC bakal menekankan pembangunan guru dan pembinaan kecekapan dalam kalangan pelajar dengan mewujudkan saluran khusus individu berkemahiran mampan yang bersedia untuk menyahut cabaran dan peluang masa depan.
Melalui inisiatif ini, syarikat tersebut menyasarkan untuk melebarluaskan akses pendidikan itu untuk komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan akademik di Kedah serta memupuk persekitaran untuk pelajar diberikan peluang untuk meneroka dan cemerlang dalam disiplin STEM.
Ketua Pegawai Operasinya untuk ASEAN, Daniel Gonzalez berkata: “Di Stellantis, kami komited meningkatkan komuniti tempatan melalui pendidikan apatah lagi terdapat kilang serantau kami di Gurun, dan kami mahu menjadi pemangkin peluang pekerjaan berkaitan STEM di negeri ini."
Syarikat itu ujarnya, memainkan peranan penting dalam menyediakan generasi akan datang untuk masa depan yang didorong oleh teknologi dan inovasi serta percaya bahawa pemerkasaan minda muda dengan peralatan sesuai dan peluang untuk meneroka bidang STEM adalah penting.
“Bahkan menerusi bekerjasama dengan PSC, kami menyasarkan untuk melahirkan guru berkualiti dan membina kompetensi masa depan dalam kalangan pelajar, memastikan Kedah menjadi pusat inovasi dan pertumbuhan sosio-ekonomi yang berkembang maju,” tambah beliau.
Perkongsian inisiatif ini selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030, yang bertujuan khusus untuk membangunkan ramai bakat tenaga kerja berpendapatan tinggi serta berkemahiran melalui proses kemajuan dalam sektor automasi dan teknologi.
Tambahan pula jelas Gonzalez, Kedah adalah sebahagian daripada Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER), yang memiliki cita-cita besar untuk menjadi hab ekonomi dan teknologi negara yang bertaraf dunia dengan mempelbagaikan bidang ekonomi setempat.
Pelan jangka panjang itu bakal menyaksikan perubahan empat negeri terlibat daripada industri tradisional seperti pertanian dan pembuatan kepada sektor yang bernilai tinggi seperti teknologi, aeroangkasa, bioteknologi, dan pembuatan termaju.
Ketua Pegawai Eksekutif PSC, Datuk Ooi Peng Ee turut berkongsi nada sama dan menyatakan bahawa asas yang kukuh dalam STEM adalah penting untuk mencapai matlamat dan menjadikan kerjasama Stellantis-PSC sebagai penyumbang utama kepada kejayaan serantau dan nasional.
“Ini merupakan satu langkah penting ke depan dalam memperkukuh pendidikan STEM di Kedah dengan menyediakan pelajar kepada pendedahan dan peluang pembelajaran yang betul, kami bukan sahaja mencetuskan minat dalam bidang ini tetapi menyediakan potensi masa depan.
"Inovasi dan teknologi akan memainkan peranan utama. Matlamat kami adalah untuk menjadikan Kedah sebagai mercu tanda bakat dan inovasi, dan kami yakin inisiatif ini akan memberi impak positif yang berkekalan kepada masyarakat,” tambah beliau. - DagangNews.com








