KUALA LUMPUR 5 Nov – Steel Hawk Berhad (0320) kini bersedia untuk memperluas perniagaannya ke sektor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) selepas memperoleh kelulusan pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) hari ini.
Langkah ini membolehkan Steel Hawk memanfaatkan kepakaran kejuruteraannya di luar sektor minyak dan gas (O&G), termasuk dalam utiliti dan tenaga, pembuatan industri, kesihatan, pertahanan, telekomunikasi, serta projek komersial berskala besar.
Timbalan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Steel Hawk, Datuk Sharman K. Michael berkata, langkah itu juga akan meningkatkan ketahanan perniagaan dalam jangka masa panjang.
“Steel Hawk akan memulakan usaha ini melalui kerjasama dengan Ibrahim & Sons Engineering (IBSE) bagi melaksanakan kerja subkontrak untuk TNB, termasuk pemasangan dan pentauliahan kabel bawah tanah 11kV dan 33kV bernilai kira-kira RM92.66 juta.
“Selain itu, kumpulan juga telah memperoleh lapan kontrak daripada Sega Elektrik bernilai RM61 juta untuk kerja pemasangan dan pentauliahan sistem pengedaran TNB,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketika ini, Steel Hawk aktif mendaftar sebagai vendor dan kontraktor berpotensi dengan syarikat multinasional, GLC dan GLIC untuk membina saluran projek yang kukuh, sekaligus menjadikan segmen EPCC sebagai penyumbang pendapatan utama.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemegang saham juga meluluskan cadangan untuk mengubah penggunaan hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM7 juta yang asalnya diperuntukkan bagi pembinaan infrastruktur di Teluk Kalung 2 kepada modal kerja Kumpulan.
“Langkah ini dijangka meningkatkan likuiditi dan fleksibiliti Steel Hawk dalam membiayai projek-projek sedia ada dan baru yang sedang dijalankan.
“Antara projek yang akan dibiayai termasuk kontrak Remote Operations dan Splash Zone untuk PETRONAS Carigali Sdn Bhd, projek perkhidmatan scaffolding untuk EPOMS Sdn Bhd, kerja pembinaan dan pengubahsuaian untuk 27 loji hiliran PETRONAS, serta kerja subkontrak TNB di bawah kerjasama dengan IBSE,” katanya.
Turut diluluskan ialah penerbitan khas sehingga 70 juta saham untuk pelabur Bumiputera bagi memenuhi syarat MITI.
Steel Hawk, yang beroperasi di Kemaman, Terengganu dan Miri, Sarawak, kini memiliki keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan EPCC bukan sahaja untuk industri minyak dan gas, tetapi juga bagi sektor lain yang berkembang pesat di Malaysia. - DagangNews.com








