KUALA LUMPUR 22 April - Steel Hawk Berhad mengambil tindakan undang-undang terhadap lima pihak termasuk kontraktor utama berhubung dakwaan penyelewengan dana dan pelanggaran perjanjian bagi beberapa projek kejuruteraan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata anak syarikat milik penuhnya, Steel Hawk Engineering Sdn Bhd (SHESB), telah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur terhadap Ibrahim & Sons Engineering Sdn Bhd (IBSE), Always Ahead Engineering Sdn Bhd serta tiga individu iaitu Zafrin Ibrahim, Zulkflee Ibrahim dan Khaeromze Ahmad.
Tindakan itu susulan perjanjian kerjasama yang dimeterai antara SHESB dan IBSE pada 31 Julai 2025 bagi melaksanakan beberapa projek berkaitan TNB, dengan IBSE bertindak sebagai kontraktor utama manakala SHESB menyediakan pembiayaan dan modal kerja.
Menurut Steel Hawk, perjanjian tersebut memperuntukkan bahawa semua bayaran daripada TNB perlu diurus sebagai wang amanah dan dimasukkan ke dalam akaun amanah atau eskrow yang ditetapkan.
Bagaimanapun, SHESB mendakwa telah menyalurkan sejumlah RM11.63 juta kepada pihak defendan antara 2025 hingga 2026 berdasarkan representasi yang diberikan, sebelum menemui beberapa ketidakpatuhan serius.
Antara lain, defendan didakwa gagal menyalurkan bayaran daripada TNB ke dalam akaun yang ditetapkan selain menyebabkan pembayaran dibuat ke akaun tidak sah, termasuk melibatkan jumlah RM2.76 juta.
SHESB turut mendakwa terdapat dokumen berkaitan projek seperti pesanan pembelian TNB dan surat anugerah yang digunakan oleh defendan adalah palsu, tidak wujud atau telah dibatalkan.
Sehubungan itu, SHESB menuntut beberapa relif termasuk pengisytiharan pelanggaran perjanjian dan pecah amanah, serta bayaran balik berjumlah keseluruhan RM14.39 juta melibatkan dana yang dibayar dan didakwa diseleweng.
Selain itu, syarikat turut memohon perintah supaya defendan mengemukakan akaun penuh bagi semua dana yang diterima dan digunakan, serta menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk.
Steel Hawk berkata, setakat ini tindakan undang-undang tersebut tidak dijangka memberi kesan material segera terhadap kedudukan kewangan dan operasi kumpulan.
“Syarikat akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan material berkaitan kes ini,” katanya. - DagangNews.com








