KUALA LUMPUR 27 Mac - Steel Hawk Berhad, melalui anak syarikat milik penuhnya, Steel Hawk Engineering Sdn Bhd (SHESB), dilantik oleh Petronas Carigali Sdn Bhd sebagai kontraktor panel kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk operasi jarak jauh.
Pembekal perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (O&G) tempatan itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tersebut telah melantik SHESB pada 28 Februari 2025.
Pelantikan selama lima tahun, dari 28 Februari 2025 hingga 27 Februari 2030, dengan kerja-kerja distrukturkan atas dasar panggilan keluar tanpa nilai tetap serta dijangka menyumbang secara positif kepada perniagaan dan prestasi kewangan syarikat sepanjang tempoh berkenaan.
Timbalan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Steel Hawk, Datuk Sharman K. Michael berkata, pihaknya berbesar hati apabila dilantik oleh Petronas Carigali sebagai kontraktor panel bagi perkhidmatan EPCC untuk operasi jarak jauh kerana ia merupakan satu peristiwa penting syarikat.
"Ia menunjukkan keyakinan kepada pasukan dan keupayaan kami di samping sejajar dengan tumpuan jangka panjang Steel Hawk untuk menyokong industri O&G tempatan dengan rumusan yang praktikal, boleh dipercayai dan berpandangan ke hadapan,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Industri berat tersebut jelasnya, semakin mengutamakan automasi dan pelaksanaan digital untuk meningkatkan kecekapan dan meminimumkan tenaga kerja di lapangan, selaras dengan aspirasi Petronas sendiri kepada aspek transformasi pendigitalan operasi.
Steel Hawk kata Sharman, berbangga untuk menyokong inisiatif berkenaan dengan pendekatan operasi jauh sepenuhnya ini mengurangkan risiko bahaya secara ketara kepada kemudahan luar pesisir, mempercepatkan garis masa projek, dan memupuk amalan mampan.
"Dalam masa kurang setahun, kami meraih lima kontrak, dengan yang keenam ialah pelantikan kontraktor panel ini. Kami percaya kelebihan Steel Hawk ialah kualiti kerja konsisten, pengetahuan teknikal kukuh, serta komitmen terhadap keselamatan dan penghantaran," katanya.
Secara kolektif kata beliau, kontrak terbaharu berkenaan dijangka menyumbang agak bermakna kepada pendapatan syarikat tersebut pada masa hadapan, selain menyokong trajektori pertumbuhan jangka panjang dan mengukuhkan kedudukan Steel Hawk dalam pasaran industri O&G.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), ia mencatatkan keuntungan bersih RM12.65 juta dengan hasil RM78.42 juta, menandakan peningkatan tahun ke tahun (YoY) masing-masing sebanyak 75.2 peratus dan 8.1 peratus berbanding RM7.22 juta dan RM72.53 juta pada FY23.
Sehingga 31 Disember 2024, Steel Hawk mengekalkan kunci kira-kira yang sihat dengan penggearan terurus sebanyak 0.54 kali. Selain itu, aset bersih sesaham syarikat meningkat kepada 9.46 sen daripada 4.34 sen yang dicatatkan pada 31 Disember 2023. - DagangNews.com








