Steel Hawk Digital, Teczo tingkatkan keupayaan teknologi kejuruteraan AI dalam sektor minyak & gas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Steel Hawk Digital, Teczo tingkatkan keupayaan teknologi kejuruteraan AI dalam sektor minyak & gas

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Mac – Steel Hawk Berhad melalui anak syarikatnya, Steel Hawk Digital Sdn. Bhd. (SHDGSB) telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Teczo Sdn. Bhd untuk jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Steel Hawk berkata melalui kerjasama ini, Teczo akan berperanan sebagai penyedia utama teknologi dan rumusan digital, manakala SHDGSB akan bertindak sebagai rakan domain kejuruteraan serta ejen pembangunan perniagaan. 

 

“SHDGSB akan mempromosikan, memperkenalkan dan memudahkan penggunaan rumusan Teczo kepada pelanggan serta pihak berkepentingan industri,” katanya dalam makluman tersebut.

 

SHDGSB yang ditubuhkan pada 6 Mac 2026 mempunyai kepakaran dalam perkhidmatan kejuruteraan, termasuk penyelenggaraan dan pemeriksaan saluran paip serta rumusan kejuruteraan berkaitan bagi sektor minyak & gas dan tenaga.

 

Teczo pula menumpukan kepada pembangunan dan integrasi perisian, pengurusan data, aplikasi Internet of Things (IoT), aplikasi realiti lanjutan industri (XR) dan program komputer lain yang berkaitan.

 

Tujuan utama MoU ini adalah untuk menggabungkan kepakaran kedua-dua pihak bagi membangunkan, mempromosikan dan menyampaikan rumusan digital dan kejuruteraan yang menyeluruh kepada pelanggan dalam dua sektor tersebut.

 

Fokus awal kerjasama ini ialah pembangunan sistem pemantauan kebocoran berasaskan kecerdasan buatan (AI) di mana Teczo akan menyediakan kepakaran teknikal, produk digital dan sokongan pelaksanaan, manakala SHDGSB akan menguruskan hubungan dengan pelanggan serta pelaksanaan di lapangan.

 

MoU ini sah selama tiga tahun dan boleh dilanjutkan melalui persetujuan bersama. Sekiranya salah satu pihak ingin menamatkan MoU, notis tiga bulan perlu diberikan. 

 

Perjanjian ini tidak melibatkan sebarang komitmen kewangan atau perubahan struktur saham Steel Hawk.

 

Pihak pengurusan Steel Hawk menjangkakan kerjasama ini akan memperkukuh kehadiran syarikat dalam pasaran, meningkatkan kemampuan menyampaikan rumusan digital dan kejuruteraan, serta membuka peluang perniagaan baharu.

 

MOU ini tidak memerlukan kelulusan daripada pemegang saham atau pihak berkuasa dan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam perjanjian ini. - DagangNews.com