KUALA LUMPUR 15 Julai - NationGate Holdings Bhd memaklumkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerbu premis anak syarikat milik penuhnya, NationGate Solution (M) Sdn Bhd, sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung dakwaan penyeludupan logam sekerap.
Reaksi pelabur terhadap berita itu pantas, menyebabkan harga saham NationGate jatuh sehingga 16% atau 26 sen dengan jumlah dagangan tinggi sejurus dagangan disambung selepas rehat tengah hari.
Saham tersebut kemudian sedikit pulih daripada paras terendah harian dan didagangkan pada RM1.46 pada jam 2.45 petang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, NationGate berkata serbuan berlaku pada hari Isnin. Kumpulan itu menegaskan mereka memandang serius terhadap dakwaan tersebut dan telah mengambil langkah proaktif untuk bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM serta mengekalkan integriti siasatan.
"Syarikat kami kekal komited terhadap piawaian tertinggi dalam tadbir urus korporat, akauntabiliti, dan ketelusan.
“Lembaga pengarah memberi jaminan kepada para pemegang kepentingan bahawa mereka akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan operasi perniagaan tidak terjejas, dan langkah interim yang sesuai telah pun dilaksanakan,” kata syarikat itu, sambil menambah bahawa pengumuman lanjut akan dibuat dari semasa ke semasa.
Menurut laporan Bernama, SPRM telah melancarkan operasi besar-besaran terhadap sindiket penyeludupan logam sekerap di lima negeri, yang didakwa membayar rasuah kepada pegawai penguat kuasa.
Aktiviti ini dilaporkan telah menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai melebihi RM950 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan serbuan tersebut menyasarkan kilang dan syarikat yang mengeksport logam sekerap ke luar negara, menurut laporan berkenaan. - DagangNews.com








