KUALA LUMPUR 12 Feb - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang bekerjasama dengan Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom dalam siasatan berterusan melibatkan IJM Corporation Bhd berhubung transaksi kewangan dan pelaburan luar negara berjumlah kira-kira RM2.5 bilion.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata kedua-dua agensi bekerjasama rapat dan perlu mematuhi prosedur tertentu dalam proses pengumpulan maklumat dan bukti.
“Saya tidak fikir ia akan menjadi masalah kerana kedua-dua agensi mempunyai mandat masing-masing dalam menyiasat kes ini. Jadi kita perlu memastikan kerjasama ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Buat masa ini, kami sedang bertukar maklumat, belum lagi bukti. Pegawai-pegawai saya sedang berkomunikasi dengan pihak SFO,” katanya dalam satu temu bual khas bersama beberapa organisasi media pada Rabu.
Beliau berkata siasatan terhadap kes itu mungkin mengambil sedikit masa kerana SPRM turut menunggu hasil siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa United Kingdom.
“Kerana wang yang dilaburkan, kira-kira RM2.5 bilion di UK, mungkin melibatkan isu di negara itu, kemungkinan melanggar undang-undang pengubahan wang haram mereka... saya tidak pasti.
“Jadi di sini, kita bukan sahaja menyiasat, tetapi juga memudah cara pihak berkuasa UK. Maka ia akan mengambil sedikit masa,” katanya.
Ketika ditanya mengenai peranan Pengerusi Bukan Eksekutif IJM, Tan Sri Krishnan Tan, Azam berkata suruhanjaya itu akan menentukan sama ada sebarang kesalahan telah dilakukan.
“Kami akan menyiasat sama ada terdapat sebarang salah laku, termasuk kemungkinan penyalahgunaan dana syarikat,” katanya.
Media melaporkan bahawa Tan telah ditahan pada Khamis lalu bagi membantu siasatan SPRM berhubung isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan dan pemilikan aset luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
Beliau dibebaskan pada hari yang sama. - BERNAMA








