KUALA LUMPUR 6 Nov – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa seramai 49 individu, terdiri daripada pegawai dan bekas pegawai institusi perbankan, yang disyaki menerima rasuah daripada beberapa firma guaman dalam tempoh lima tahun lalu.
Agensi berita Bernama yang memetik sumber berkata, SPRM telah mendapat kelulusan untuk memulakan pendakwaan terhadap semua individu terbabit, dengan pertuduhan dijangka dilakukan secara berperingkat sepanjang bulan November di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
“Mereka dipercayai menerima rasuah atau komisen sebagai balasan kerana melantik firma guaman tertentu bagi menguruskan dokumen perjanjian pembiayaan untuk pelanggan yang memohon pinjaman di beberapa institusi perbankan antara tahun 2018 hingga 2023,” kata sumber itu.
Aktiviti rasuah yang melibatkan pegawai bank dan firma guaman tersebut terbongkar hasil operasi khas SPRM, Op Tiger, yang dijalankan sekitar Jun 2024, di mana siasatan mendapati komisen atau bayaran telah dibuat sebelum urus niaga pinjaman pelanggan diselesaikan.
Semua tertuduh akan didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, melibatkan 249 pertuduhan dengan jumlah keseluruhan rasuah dianggarkan hampir RM700,000. - DagangNews.com








