SP Setia perkenal Erica, projek kediaman 162 unit dengan GDV RM93.6 juta di Sepang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SP Setia perkenal Erica, projek kediaman 162 unit dengan GDV RM93.6 juta di Sepang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 April – SP Setia Berhad memperkenalkan projek terbaharu mereka iaitu Erica, sebuah pembangunan rumah teres dua tingkat di Taman Setia Tropika, Sepang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) projek ini dianggarkan sekitar RM93.59 juta.

 

Projek ini terletak bersebelahan dengan  Setia Warisan Tropika dan merangkumi keluasan 11.34 ekar.

 

Erica menawarkan sebanyak 162 unit rumah teres dua tingkat yang berukuran 20’ x 60’. Keluasan binaan setiap unit adalah antara 1,405 hingga 1,445 kaki persegi, dengan harga bermula daripada RM559,000. 

 

Ketua Pegawai Operasi SP Setia, Datuk Yuslina Mohd Yunus berkata projek ini direka untuk memenuhi keperluan keluarga muda yang mencari rumah pertama. 

 

“Erica mengutamakan keselesaan yang praktikal dan fungsi seimbang. Setiap unit rumah Erica mempunyai hak milik tanah individu yang memberi fleksibiliti kepada pemilik untuk melakukan pengubahsuaian atau penambahan binaan mengikut citarasa mereka sendiri.

 

“Projek ini mempunyai akses jalan yang baik ke Cyberjaya dan Putrajaya melalui Putrajaya-Dengkil Road, Lebuhraya ELITE dan Lebuhraya Utara-Selatan. Stesen Salak Tinggi ERL juga terletak dalam jarak berjalan kaki, membolehkan akses terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur City Centre,” katanya.

 

Erica juga terletak berdekatan dengan institusi pendidikan seperti Xiamen University, Nilai University, INTI International College, dan UiTM Dengkil. Ini menjadikannya sesuai untuk keluarga yang mementingkan kemudahan pendidikan.

 

Kemudahan komersial juga mudah dicapai, termasuk DPULZE Shopping Centre di Cyberjaya, Horizon Village Outlets, dan Mitsui Outlet Park di Sepang yang memberi keselesaan kepada penduduk untuk mendapatkan keperluan harian dan hiburan dengan mudah.

 

SP Setia menawarkan promosi khas sempena kempen jualan Raya dari 16 Mac hingga 30 April. Pembeli yang menempah rumah dan menandatangani perjanjian jual beli dalam tempoh 30 hari akan menerima Rezeki Bonanza sebanyak RM4,000 setiap unit.

 

Selain itu, pemilik sedia ada SP Setia yang memperkenalkan pembeli baru boleh menikmati tawaran Kawan Bawa Kawan, iaitu RM3,000 bagi setiap unit yang berjaya dijual melalui rujukan mereka.

 

Erica merupakan sebahagian daripada usaha SP Setia dalam membangunkan komuniti lestari dan menyediakan rumah mampu milik di kawasan yang mempunyai nilai kehidupan tinggi serta kemudahan pengangkutan yang baik.

 

SP Setia, yang ditubuhkan pada 1974, telah membina portfolio pelbagai projek perbandaran terancang, kawasan mewah, kediaman tinggi, dan pembangunan komersial. Syarikat ini diiktiraf dengan pelbagai anugerah antarabangsa dan tempatan termasuk 19 FIABCI World Gold Prix d’Excellence Awards.

 

Kehadiran SP Setia di Malaysia meliputi pusat ekonomi utama seperti Lembah Klang, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Sabah, selain projek antarabangsa di United Kingdom, Australia, Vietnam dan China. - DagangNews.com