KUALA LUMPUR 17 Mac – SP Setia Bhd melancarkan Summera Grove, satu projek rumah teres dua tingkat di Setia Tropika Johor Bahru dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM181.43 juta.
Projek ini menampilkan 203 unit rumah teres yang direka untuk memenuhi gaya hidup moden dan selesa.
Summera Grove dibangunkan di atas tanah seluas 15.28 ekar di Presint 13 Setia Tropika, sebahagian daripada perbandaran berkeluasan 740 ekar yang lengkap berpagar dan akses kawalan keselamatan sepenuhnya serta beberapa kemudahan perniagaan dan rekreasi yang lain.
Dalam sesi pelancaran yang berlangsung baru-baru ini, sebanyak 130 unit bukan Bumiputera telah habis ditempah dalam tempoh beberapa jam. Sambutan luar biasa ini menunjukkan permintaan pasaran yang kukuh terhadap rumah di perbandaran matang dan terancang.
Para pembeli dilaporkan mula beratur seawal tiga hari sebelum pelancaran untuk memastikan mereka mendapatkan unit pilihan masing-masing, membuktikan keyakinan tinggi terhadap reputasi SP Setia dan kualiti pembangunan yang ditawarkan.

Summera Grove menampilkan rumah teres dua tingkat bersaiz dari 20’ x 60’ hingga 20’ x 75’, dengan keluasan binaan antara 1,706 hingga 1,894 kaki persegi.
Harga jualannya bermula daripada RM719,355 hingga RM1.43 juta.
Setia Tropika menawarkan pelbagai kemudahan untuk penghuninya, termasuk pusat perniagaan, pilihan aneka kedai runcit dan makanan, serta Dewan Konvensyen Tropika yang khusus. Kawasan ini direka untuk menyediakan persekitaran kehidupan yang tenang tetapi mempunyai akses yang baik ke pusat bandar.
Ketua Pegawai Operasi SP Setia, Datuk Yuslina Mohd Yunus berkata projek Summera Grove mencerminkan kepakaran Kumpulan dalam perancangan perbandaran bersepadu.
“Pembangunan ini adalah contoh evolusi perbandaran yang dirancang dengan teliti, bukan sekadar pembangunan jangka pendek,” katanya.

Summera Grove turut menampilkan ciri-ciri mesra alam dan teknologi moden, termasuk kunci rumah pintar, panel solar, saluran pengecasan kenderaan elektrik, Sistem Binaan Berindustri, dan Box 366 untuk penghantaran barangan tanpa sentuhan.
Lokasi projek ini sangat strategik dengan akses mudah ke Lebuhraya Utara-Selatan melalui Persimpangan Kempas. Stesen ETS Kempas Baru hanya 3.5 km, pusat bandar Johor Bahru 12 km, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai 18 km.
Pusat perubatan utama turut berada berdekatan, termasuk Pusat Perubatan Kempas dan KPJ Bandar Dato’ Onn dalam radius 10 km, memastikan kemudahan kesihatan mudah dicapai oleh penduduk.
Summera Grove sesuai untuk keluarga baharu dan yang sedang membesar kerana menawarkan akses mudah mendapatkan keperluan harian serta kemudahan runcit seperti Lotus’s Setia Tropika dan Johor Premium Outlets. - DagangNews.com








