KUALA LUMPUR 16 April – SP Setia Bhd akan melancarkan 70 unit rumah teres dua tingkat Ferrous Finale dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM75.43 juta di Alam Impian, Shah Alam.
Projek Ferrous Finale merupakan fasa terakhir bagi siri Ferrous, iaitu rangkaian kediaman teres dua tingkat pegangan bebas dalam kawasan bertemakan Industrial Arts Precinct di Alam Impian.
Alam Impian dibangunkan oleh SP Setia Bhd merangkumi keluasan 1,235 ekar dan direka sebagai perbandaran berkonsepkan seni, komuniti dan landskap yang terancang.
Keseluruhan pembangunan Alam Impian turut menampilkan tujuh precinct landskap berbeza dengan kira-kira 200 ekar taman, ruang hijau serta elemen air yang menghubungkan kawasan kejiranan.
Ferrous Finale menawarkan rumah teres dua tingkat dengan lot pertengahan berukuran 22’ x 70’ serta keluasan binaan sekitar 1,952 kaki persegi.
Bagi unit lot tepi dan hujung, saiznya lebih besar iaitu 24’ x 70’ dengan keluasan binaan sekitar 2,161 kaki persegi serta tambahan ruang di tingkat bawah.
Harga jualan unit bagi projek ini ditawarkan antara RM986,800 hingga RM1.55 juta bergantung kepada jenis lot dan lokasi.
Menurut Ketua Pegawai Operasi SP Setia Bhd, Datuk Yuslina Mohd Yunus, pembangunan Alam Impian mencerminkan komitmen syarikat dalam membangunkan perbandaran yang terancang, mampan dan menitikberatkan kualiti kehidupan.
Beliau berkata, Ferrous Finale adalah penutup kepada siri Ferrous yang menerima sambutan amat baik apabila kesemua tiga fasa terdahulu telah habis dijual, sekali gus membuktikan permintaan kukuh terhadap kediaman di kawasan tersebut.
Katanya, antara tarikan utama pembangunan ini ialah akses terus kepada kemudahan LakePoint Complex yang merangkumi LakePoint Park, LakePoint Club serta LakePoint Central sebagai pusat komersial dan gaya hidup penduduk.
LakePoint Club menawarkan pelbagai kemudahan termasuk kolam renang, gimnasium, sauna, dewan serbaguna berkapasiti 1,000 orang, gelanggang badminton, futsal, studio serta bilik permainan untuk komuniti setempat.
Dari aspek kelestarian, rumah Ferrous Finale dilengkapi dengan ciri SP Setia eGreenLiving seperti sistem kunci pintar, pemasangan solar PV serta Box 366 untuk penghantaran tanpa sentuhan.
Kemudahan harian penduduk turut disokong oleh LakePoint Central yang menempatkan Urban Marketplace, kedai F&B, outlet Mr. DIY serta pelbagai kedai kejiranan untuk keperluan harian.
Lokasi pembangunan ini turut berhampiran pelbagai pusat beli-belah utama termasuk AEON BiG, Econsave, Mydin Sri Muda, Giant Hypermarket, NSK Trade City serta SACC Mall.
Dari segi pendidikan, ia turut berdekatan Eaton International School dalam kawasan tersebut selain SK Seksyen 24 dan SMK Seksyen 24 yang terletak kira-kira 5 kilometer dari lokasi. Ferrous Finale turut menikmati jaringan jalan raya utama termasuk Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Persekutuan.
SP Setia turut memperkenalkan kempen jualan sempena musim perayaan melalui Rezeki Bonanza, di mana pembeli yang menempah unit dan menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dalam tempoh 30 hari layak menerima rebat RM4,000 seunit.
Selain itu, program Kawan Bawa Kawan menawarkan ganjaran RM3,000 kepada pemilik sedia ada SP Setia bagi setiap rujukan berjaya, sebagai insentif tambahan kepada pembelian rumah baharu. - DagangNews.com








