SP Setia diyakini capai sasaran jualan RM4.8 bilion pada FY25, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SP Setia diyakini capai sasaran jualan RM4.8 bilion pada FY25, kata Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 April — SP Setia Berhad berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan bagi tahun kewangan 2025 (FY25), susulan pelbagai tawaran projek taman perindustrian dan perbandarannya, kata Maybank Investment Bank Research (Maybank IB).


Firma penyelidikan tersebut berkata, walaupun terdapat faktor ketidaktentuan luaran, pemaju hartanah berkenaan dilihat tetap yakin untuk dapat mencatatkan sasaran jualan pada FY25 yang ditetapkan sebanyak RM4.8 bilion.


Dalam pertemuan dengan pengurusan syarikat itu baru-baru ini, ia antara lain berkata, taman-taman perindustrian dijangka memacu pendapatan baharu seterusnya bagi SP Setia di samping sumbangan daripada projek perbandaran yang stabil. 


"Terdapat tiga taman perindustrian masing-masing di Selangor, Johor dan Pulau Pinang. Taman Perindustrian Setia Alaman di Klang akan mula menyumbang kepada pendapatan dari FY25 dan seterusnya," kata Maybank IB dalam nota kajiannya.


Setakat ini kata firma berkenaan, projek itu telah memperoleh jualan tanah bernilai RM655 juta sejak 2023 dan untuk meningkatkan profil projek tersebut, SP Setia berhasrat untuk membentuk usaha sama (JV) dengan rakan kongsi asing.


Langkah berkenaan untuk membangunkan sebahagian daripada tanah tersebut, dan perjanjian itu dijangka dimeterai pada separuh kedua tahun ini selain ia positif mengenai prospek Taman Perindustrian Setia Fontaines di Bertam, Pulau Pinang.


“Dengan Penang Development Corporation sebagai rakan kongsi JV, kami menjangkakan proses kelulusan dipercepatkan di samping sokongan kerajaan negeri yang seharusnya meningkatkan keyakinan pelabur, pada pandangan kami," kata Maybank IB.


SP Setia juga katanya, sedang berbincang dengan dua rakan kongsi JV yang berpotensi iaitu satu tempatan dan satu lagi asing, untuk Taman Perindustrian Tanjung Kupang (TKIP) seluas 124 hektar di kawasan Iskandar Malaysia, Johor.


Firma penyelidikan tersebut berkata, TKIP memiliki potensi yang kukuh sebagai hab logistik memandangkan kedudukannya yang berdekatan dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Forest City serta bersebelahan negara jiran, Singapura.


Di peringkat antarabangsa, SP Setia terus berkembang dengan momentum yang kukuh antaranya di Australia, apabila Atlas Melbourne yang terletak di La Trobe Street telah mengunci 50 peratus jualan, dengan 20 unit terjual setiap bulan.


"Walaupun tiada butiran mengenai garis masa pelancaran projek Carlton di Melbourne, kami memahami ada dua menara diperuntukkan bina-dan-jual, manakala menara lain dibina untuk disewa sebagai penginapan pelajar universiti," katanya.


Pihak pengurusan SP Setia kata Maybank IB, tidak menjangkakan kerugian besar daripada projek Stesen Janakuasa Battersea yang dimiliki 40 peratus di Britain, kerana pembangunan di situ telah mencapai 99 peratus pajakan runcit.


Kadar pengambilan pula 71 peratus untuk pangsapuri Koa dan 46 peratus penghunian pejabat bagi Fasa 3B sementara Fasa 3C sedang dirundingkan dengan bakal pembeli manakala Fasa 4, masih berjalan menjadi JV dengan pemaju antarabangsa.


Perancangan SP Setia untuk menyenaraikan hartanah pelaburannya kata firma penyelidikan tersebut adalah kekal utuh, dengan penyenaraian itu dijangka berlaku pada awal 2026.

Maybank IB juga mengekalkan saranan "beli" dan menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM1.45 sesaham. - DagangNews.com