KUALA LUMPUR 21 Mei - SP Setia Berhad kini berdepan tekanan semakin mencabar apabila margin keuntungan terus menyusut, jualan hartanah kediaman perlahan dan kos operasi yang kekal tinggi.
Justeru, beberapa firma penyelidikan mula lebih berhati-hati terhadap prospek kumpulan pemaju hartanah itu, selepas prestasi suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) yang dianggap sebagai lemah.
Mereka melihat potensi pemulihan pendapatan dalam tempoh terdekat disokong pengiktirafan jualan tanah industri bernilai besar serta pengembangan taman perindustrian di Malaysia dan Vietnam.
Antaranya, CGS International (CGSI) yang mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM1.62 kerana menjangkakan keuntungan SP Setia kembali lebih kukuh dalam tempoh FY26 hingga FY28.
"Kumpulan kini memiliki RM1.5 bilion jualan tanah belum dibilkan termasuk RM650 juta daripada tanah industri dan RM920 juta pelupusan aset bukan teras yang diiktiraf berperingkat," katanya.
Strategi pengembangan taman perindustrian ujarnya, mula menunjukkan momentum positif termasuk pelancaran projek baharu dikenali sebagai Fontaines Industrial Park di Pulau Pinang pada Jun 2026.
Kata CGSI, nilai pembangunan kasar (GDV) di situ mencecah RM3 bilion, selain SP Setia merancang sebanyak enam cadangan pembangunan usaha sama (JV) yang melibatkan tanah berkeluasan 720 hektar.
Firma penyelidikan itu menganggarkan potensi GDV sekitar RM13 bilion yang dilihat mampu dalam memperkukuhkan keterlihatan pertumbuhan jangka panjang kumpulan untuk beberapa tahun akan datang.
"Bagi 1QFY26, prestasi masih dipengaruhi margin lebih rendah, jualan hartanah perlahan serta kesan asas tinggi daripada pengiktirafan jualan tanah Tanjung Kupang pada suku sebelumnya," katanya.
Tekanan Kos Jejaskan Prospek Hartanah
MBSB Research pula menurunkan penarafan saham SP Setia kepada 'neutral' daripada 'beli' namun TP dikekalkan 98 sen selepas melihat prospek sektor hartanah semakin sederhana akibat tekanan kos.
Ujar firma itu, walaupun pengurusannya masih mengekalkan sasaran jualan RM4.6 bilion bagi FY26, momentum jualan tanah dijangka lebih perlahan sepanjang tahun ini berbanding rekod pada FY25.
Menurutnya, margin keuntungan kasar merosot kepada 29.4% berbanding 36.5% setahun lalu akibat peningkatan kos jualan selain kadar cukai efektif tinggi turut menjejaskan keuntungan bersih.
“Meskipun pendapatan dijangka bertambah baik dalam suku berikut, kami melihat risiko pertumbuhan lebih sederhana untuk sektor hartanah dalam keadaan tekanan kos operasi terus meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengambil pendirian lebih berhati-hati apabila menurunkan saranan kepada 'pegang' daripada 'beli' dengan TP yang lebih rendah pada RM1.00.
Firma itu berkata, keputusan 1QFY26 berada di bawah jangkaan apabila keuntungan teras menyumbang sekitar 3% daripada unjuran penuh tahun akibat jualan dan margin yang lemah berbanding jangkaan.
SP Setia katanya, masih bergantung kepada jualan tanah dan skala pembangunan besar bagi meningkatkan keuntungan memandangkan struktur kos tetap dan kewangan kumpulan kekal tinggi. - DagangNews.com








