KUALA LUMPUR 28 Mei — Southern Cable Group Berhad memulakan tahun kewangan 2026 dengan positif apabila mencatatkan keuntungan bersih RM33.16 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026.
Peningkatan 21% daripada RM27.40 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, didorong prestasi perolehan yang tinggi, peningkatan dalam pendapatan lain, serta perbelanjaan pentadbiran lebih rendah.
Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ia mencatatkan pendapatan sebanyak RM432.66 juta, meningkat 10.71% berbanding RM390.81 juta pada suku pertama tahun kewangan 2025.
"Pertumbuhan ini disokong oleh kapasiti pengeluaran yang diperluas kepada 54,980 kilometer (km) setahun, iaitu peningkatan 10% berbanding tempoh yang sama tahun lalu," kata Southern Cable.
Pasaran domestik kekal sebagai penyumbang utama dengan 84.39% daripada jumlah hasil, namun jualan luar negara mencatatkan pertumbuhan 117.19%, dipacu eksport lebih tinggi ke Amerika Syarikat (AS).
Segmen kabel dan wayar kuasa menyumbang RM391.01 juta (90.37% daripada perolehan), manakala baki RM41.65 juta adalah daripada segmen komunikasi, kawalan dan instrumentasi, serta lain-lain produk.
Setakat 31 Mac 2026, Southern Cable sudah mempunyai tempahan dalam tangan dijamin yang berjumlah RM924.9 juta dan memberikan keterlihatan pendapatan sehingga tahun kewangan 2027 (FY27) kelak.
"Ini termasuk tempahan untuk pelbagai produk kabel sebanyak RM121.1 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan tender yang dianugerahkan kepada kumpulan sekitar Februari 2026," jelasnya.
Menyentuh mengenai prospek masa depan, kumpulan menyasarkan kapasiti pengeluaran tahunan mencapai 60,000 km menjelang akhir 2026, selain sedang berusaha memperkukuh keupayaan pengeluaran huluan.
Perkembangan tersebut dilaksanakan Southern Cable dengan penyiapan relau aluminium baharu pada April 2026 yang akan dapat menggandakan pengeluaran rod aluminium kepada 60,000 tan setahun.
Secara keseluruhan, ia kekal positif terhadap prospek FY26, disokong permintaan teguh inisiatif tenaga boleh diperbaharui (RE) di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). - DagangNews.com








