KUALA LUMPUR 30 Mei — Southern Cable Group Berhad diunjur mampu meraih sebahagian besar daripada pelbagai kontrak kabel tenaga dengan sekurang-kurangnya 10 perjanjian bekalan elektrik (ESA) untuk projek pusat data, kata Apex Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, ia susulan pengumuman Tenaga Nasional Berhad (TNB) baru-baru ini mengenai lima ESA untuk pusat data berjumlah 666 megawatt (MW) pada suku pertama 2025 dimeterai, dengan 10 kontrak lagi dijangka akhir tahun.
Katanya, lonjakan permintaan untuk kabel tenaga voltan sederhana dan tinggi (MV dan HV) dijangka dapat memanfaatkan perniagaan Southern Cable sendiri, yang selama ini beroperasi dalam segmen dengan persaingan secara terhad.
"Dengan kedudukan kukuh dalam segmen tersebut, kumpulan itu berada pada potensi yang baik untuk memperoleh sebahagian besar daripada peluang infrastruktur yang akan datang ini," kata Apex Securities dalam satu nota kajiannya.
Tambahnya, selain berperanan dalam infrastruktur domestik, ia juga dilihat sebagai salah satu daripada beberapa pembekal kabel tempatan yang mempunyai akses untuk pengeksportan dan pengedaran ke pasaran Amerika Syarikat (AS).
Berdasarkan perkembangan itu, ia telah menaikkan unjuran hasil Southern Cable sebanyak 21 peratus sepanjang tahun kewangan 2025 hingga 2027, dengan menilai pengembangan margin teguh dan permintaan berdaya tahan untuk kabel tenaga.
Segmen tenaga kumpulan itu menyumbang sebahagian besar pendapatan, serta keuntungan kasar lebih daripada dua kali ganda tahun ke tahun pada suku pertama yang berakhir 31 Mac 2025, apabila permintaan untuk kabel MV dan HV melonjak.
Apex Securities berkata, produk ini membentuk lebih 30 peratus daripada hasil segmen pada suku tersebut dengan keuntungan bersih teras meningkat 113.7 peratus kepada RM29.1 juta, mencakupi 28 peratus daripada ramalan setahun penuh.
"Kami menjangkakan prestasi lebih kukuh dalam baki suku tahun kewangan dengan sebahagian besarnya didorong oleh faktor margin kabel tenaga dan wayar yang teguh daripada jangkaan kami sendiri dalam segmen tenaga," kata firma tersebut.
Southern Cable mempunyai tempahan bernilai RM1.3 bilion dalam tangan, kira-kira 90 peratus daripadanya adalah untuk kabel tenaga, dan firma itu percaya ia memberikan hasil yang kukuh untuk sepanjang tahun ini.
Apex Securties menaikkan harga sasaran untuk kumpulan itu kepada RM1.72 daripada RM1.42 dan mengulangi saranan "beli", dengan risiko kenaikan harga bahan mentah seperti tembaga dan keluli, dan potensi kegagalan kontrak baharu. - DagangNews.com








