KUALA LUMPUR 12 Mac — Southern Acids (M) Berhad memaklumkan anak syarikatnya, Pembinaan Gejati Sdn Bhd menandatangani perjanjian penyerahan awal sebahagian tanah ladang yang berjumlah RM13 juta.
Kumpulan itu berkata, perjanjian bagi pembinaan jalan akses pelbagai sambungan tersebut dimeterai dengan Bandar Rimbayu Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat dalam kumpulan IJM Corporation Berhad.
Katanya, Bandar Rimbayu akan membayar insentif penyerahan awal RM13 juta kepada Gejati bagi sebahagian tanah yang menempatkan 1,150 meter daripada keseluruhan 2.2 kilometer jalan akses itu.
"Laluan tersebut dibina di kawasan ladang dikenali Thangamallay Estate yang terletak bersama dalam Daerah Kuala Langat dan Klang, Selangor," kata Southern Acids dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Sebelum ini jelasnya, Bandar Rimbayu dibenarkan membina dan menyelenggara sebahagian jalan akses pelbagai sambungan sepanjang 9 kilometer yang melalui sebahagian kecil tanah ladang milik Gejati.
Laluan berkenaan tambah kumpulan tersebut, berkeluasan 8.4 hektar, daripada keseluruhan kawasan ladang pertanian komersial itu yang dianggarkan seluas kira-kira 261 hektar.
Kumpulan itu berkata penyerahan tanah tersebut dibuat lebih awal atas permintaan Bandar Rimbayu, namun masih tertakluk kepada kelulusan daripada kerajaan negeri serta pihak berkuasa berkaitan.
"Dalam pada itu, kesemua kos penyelenggaraan laluan tersebut dan pembaikan sebarang kerosakan jalan berkenaan perlu ditanggung sepenuhnya oleh Bandar Rimbayu sendiri," jelas Southern Acids.
Syarikat berkenaan juga bersetuju untuk menanggung rugi Gejati daripada sebarang tuntutan, liabiliti atau kewajipan yang mungkin timbul berkaitan kerja pembinaan dan penggunaan jalan tersebut.
Sebelum ini, Southern Acids memberikan penjelasan kepada pemegang saham berhubung perkembangan projek itu melalui pengumuman bertarikh 23 Ogos 2016, 28 Jun 2021 dan 23 Jun 2023. - DagangNews.com








