Solarvest rekod untung berganda Q1FY26 didorong kemajuan projek tenaga hijau disokong kerajaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Solarvest rekod untung berganda Q1FY26 didorong kemajuan projek tenaga hijau disokong kerajaan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Solarvest Holdings Bhd optimis terhadap prestasi tahun kewangan yang memuaskan selepas mencatatkan lonjakan berganda dalam keuntungan bersih suku pertama (Q1FY26) berikutan peningkatan hasil.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat tenaga bersih itu berkata, prestasi kukuh berkenaan dipacu oleh pelaksanaan berterusan beberapa projek solar berskala utiliti di bawah Corporate Green Power Programme (CGPP) sepanjang suku tersebut.

 

“Sebagai perbandingan, hasil pada tempoh sama tahun lalu adalah lebih rendah kerana projek solar berskala utiliti (LSS4) sudah hampir selesai dan menyumbang kurang kepada jumlah hasil keseluruhan,” jelas syarikat itu.

 

Bagi suku yang berakhir Jun 2025, Solarvest mencatatkan untung bersih RM15.88 juta, meningkat daripada RM7.84 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Ini membawa kepada pendapatan sesaham 2.11 sen, berbanding 1.15 sen sebelum ini.

 

Dari segi hasil, syarikat merekodkan peningkatan 89.59% kepada RM137.74 juta dalam 1QFY26 berbanding RM72.65 juta dalam 1QFY25.

 

Solarvest turut mengumumkan bahawa buku pesanan belum dibilkan setakat akhir Jun 2025 berjumlah RM1.18 bilion, yang akan diiktiraf secara progresif dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 dan 2027.

 

Kumpulan itu menegaskan ia kekal memberi tumpuan kepada usaha memperluas buku pesanan dengan memanfaatkan peluang daripada kuota empat gigawatt LSS5 dan LSS5+.

 

Selain itu, inisiatif kerajaan terbaru seperti program Battery Energy Storage System (BESS) dan SelCo dilihat membuka ruang baharu untuk mengukuhkan saluran projek syarikat sekali gus menyokong pertumbuhan jangka panjang dalam sektor tenaga boleh diperbaharui negara. - DagangNews.com