Solarvest menang kontrak RM1.06 bilion bangunkan loji solar berskala besar di Larut dan Matang, Perak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Solarvest menang kontrak RM1.06 bilion bangunkan loji solar berskala besar di Larut dan Matang, Perak

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 23 AprilSolarvest Holdings Berhad memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) terbaharu yang mencecah nilai sebanyak lebih RM1.06 bilion.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata kontrak tersebut dimeterai antara anak syarikat milik penuhnya, Atlantic Blue Sdn Bhd (ABSB) dan Malakoff Silver Solar Sdn Bhd (MSSSB).


Kontrak berkenaan melibatkan pembangunan loji solar fotovoltaik yang berkapasiti 470MWac di bawah program solar berskala besar fasa kelima tambahan (LSS5+) terletak di Larut dan Matang, Perak.


"Kerja-kerja pembinaan premis tersebut akan bermula selepas penerimaan 'Notis Untuk Mula' dan dijadualkan perlu disiapkan sepenuhnya menjelang 29 Februari 2028," kata kenyataan Solarvest.


Sebagai sebahagian daripada terma kontrak, ABSB perlu menyediakan bon prestasi dan bon jaminan masing-masing 10% daripada nilai kontrak, selain tempoh liabiliti kecacatan selama 24 bulan.


MSSSB pula jelas kumpulan itu, merupakan syarikat tujuan khas (SPV) ditubuhkan bagi melaksanakan projek ini, dengan pegangan saham 80% oleh Malakoff Corporation Berhad dan 20% oleh Solarvest.


Lembaga Pengarah Solarvest berpandangan kontrak ini dijangka memberi sumbangan positif kepada aset bersih dan hasil sesaham kumpulan bermula tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 hingga projek siap.


"Kumpulan ini tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi biasa berkaitan projek pembinaan, dan mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan sebarang impak," katanya.


Di samping itu jelas kumpulan berkenaan, kontrak diperoleh tersebut adalah dalam urusan biasa perniagaan syarikat dan kerja-kerja pelaksanaannya adalah demi kepentingan terbaik Solarvest.


Perolehan kontrak ini dilihat sebagai satu lagi pencapaian penting kumpulan itu dalam memperkukuh portfolio projek tenaga hijau serta menyokong agenda peralihan tenaga negara. - DagangNews.com