KUALA LUMPUR 19 Mac - Solarvest Holdings Berhad berada pada kedudukan kukuh mencapai sasaran buku tempahan antara RM2.5 bilion hingga RM3 bilion menjelang akhir tahun kewangan 2026 (FY26E), disokong oleh momentum kukuh perolehan projek baharu, menurut penganalisis.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, setakat ini, jumlah perolehan projek baharu bagi FY26 mencecah RM1.4 bilion, bersamaan 55% daripada sasaran penambahan buku tempahan sebanyak RM2.5 bilion.
Katanya, perkembangan terbaharu itu turut meningkatkan nilai buku pesanan tertunggak kumpulan kepada RM1.6 bilion, bersamaan kira-kira 3.5 kali hasil segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi FY25.
"Solarvest berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran tersebut, dengan jangkaan pemuktamadan kontrak EPCC bagi projek LSS5+ berkapasiti 470MWac yang dimiliki sebanyak 20% bersama Malakoff Corporation Berhad.
“Kontrak tersebut dijangka menyumbang tambahan antara RM1 bilion hingga RM1.3 bilion dalam perolehan baharu, sekali gus melonjakkan buku pesanan kepada RM2.5 bilion hingga RM3 bilion,” katanya dalam satu nota kajian.
Maybank IB berkata, lebih banyak kemenangan projek baharu dijangka dimuktamadkan menjelang akhir FY26E, sekali gus memperkukuh lagi visibiliti pendapatan kumpulan.
Sehubungan itu, firma penyelidikan mengekalkan unjuran pendapatan Solarvest dan mengekalkan saranan 'BELI' dengan harga sasaran berasaskan jumlah bahagian (SOTP-TP) sebanyak RM3.72.
Solarvest semalam mengumumkan kejayaan meraih kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM89.5 juta bagi pembangunan ladang solar berkapasiti 36MW di Perlis di bawah program LSS5+.
Kontrak tersebut dianugerahkan oleh Jubli Pasifik Sdn Bhd dan projek berkenaan dijangka siap menjelang suku pertama tahun kalendar 2028 (1QCY28).
Berdasarkan anggaran margin keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 8% bagi projek solar berskala utiliti, kontrak ini dijangka menyumbang kira-kira RM7.2 juta kepada PBT kumpulan bagi tempoh tahun kewangan 2027 hingga 2028.
Menurut Maybank IB, nilai kontrak tersirat bagi projek ini adalah sekitar RM2.5 juta bagi setiap MWac, lebih rendah berbanding kadar kebiasaan RM3.0 juta/MWac untuk projek seumpamanya.
“Perbezaan ini disebabkan pengecualian beberapa skop kerja seperti pembersihan tanah dan kerja tanah yang akan dilaksanakan oleh pemilik aset,” katanya.
Sementara itu RHB Research turut mengekalkan saranan 'BELI' dengan harga sasaran RM3.49, mencerminkan potensi kenaikan sebanyak 48% berbanding paras semasa.
Saranan itu disokong oleh kemajuan syarikat dalam mencapai sasaran buku pesanan RM2 bilion menjelang tahun kewangan 2026, selepas berjaya meraih bidaan pertama bagi tahun kalendar 2026 (CY26) pada Mac.
RHB berkata, walaupun saham Solarvest mengalami tekanan jualan baru-baru ini, asas syarikat kekal kukuh dengan penilaian semasa pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 23.8 kali, hampir kepada purata tiga tahun.
“Paras semasa dilihat sebagai peluang kemasukan semula yang menarik, sejajar dengan trajektori pertumbuhan jangka panjang sektor tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Menurut RHB, setakat suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26), Solarvest merekodkan buku tempahan tertunggak sebanyak RM1.5 bilion.
Daripada jumlah itu, kira-kira 68% terdiri daripada projek solar berskala besar (LSS), diikuti 19% di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP), manakala baki 13% melibatkan segmen komersial dan industri (C&I) serta kediaman.
"Komposisi ini memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh dalam tempoh beberapa tahun akan datang," katanya. - DagangNews.com








