KUALA LUMPUR 7 Mac — SNS Network Technology Berhad bekerjasama dengan Nvidia untuk melancarkan perkhidmatan awan kecerdasan buatan (AI) terurus sepenuhnya pertama di Malaysia yang dikuasakan unit pemprosesan grafik (GPU) Hopper Nvidia.
Kemudahan baharu tersebut yang turut digerakkan oleh sistem pelayan Dell, akan ditempatkan menerusi pusat data Lembah Klang yang terletak di Cyberjaya dan dikendalikan oleh Telekom Malaysia Berhad (TM).
Premis itu dijangka mempercepatkan penggunaan AI di Malaysia, mendedikasikan 50 peratus daripada kapasiti pengkomputerannya kepada beban kerja komersial, manakala 50 peratus lagi untuk memupuk pertumbuhan AI melalui latihan.
"Kilang AI GPU-sebagai-perkhidmatan itu menampilkan hos tempatan, serta mampu menyediakan kedaulatan data dan pematuhan terhadap peraturan privasi dan keselamatan data Malaysia," kata Pengarah Urusan SNS, Ko Yun Hung dalam satu kenyataan.
Penawaran perkhidmatan berskala itu ujarnya, akan memberi pemaju teknologi akses kepada infrastruktur AI yang canggih tanpa perbelanjaan modal intensif, dan memberi fleksibiliti kepada mereka untuk menyelaraskan keperluan pengkomputeran atas permintaan.
Syarikat itu juga merancang untuk menawarkan pilihan langganan yang fleksibel, bermula RM35,000 setiap GPU Nvidia Hopper dan RM240,000 setiap pelayan Dell XE9680 kepada pelbagai industri, termasuk kewangan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.
“Kelebihan penggerak pertama kami ini meletakkan SNS dengan peluang pertumbuhan baik di sepanjang rantaian nilai pusat data AI. Dengan permintaan meningkat, kami komited untuk mengembangkan keupayaan dan memacu penggunaan AI di Malaysia,” katanya. - DagangNews.com








