Snowflake perkukuh kehadiran di negara ini dengan pelancaran AWS Asia Pacific (Malaysia) Region | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Snowflake perkukuh kehadiran di negara ini dengan pelancaran AWS Asia Pacific (Malaysia) Region

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 Okt - Snowflake, syarikat AI Data Cloud global, mengumumkan rancangan untuk memperkukuh kehadirannya di Malaysia melalui pelancaran satu local instance di AWS Asia Pacific (Malaysia) Region tahun hadapan.

 

Langkah ini bertujuan memenuhi permintaan tinggi daripada perusahaan tempatan serta agensi kerajaan yang menekankan aspek kedaulatan, tadbir urus dan pematuhan data.

 

Pelancaran tersebut dijangka berlangsung pada separuh pertama tahun 2026, yang akan membolehkan pelanggan Snowflake menyimpan dan memproses data mereka dengan selamat dalam sempadan Malaysia, sambil mengekalkan akses kepada keanjalan, kebolehskalaan serta keupayaan analitik canggih yang ditawarkan oleh platform Snowflake AI Data Cloud.

 

Pengarah Urusan Snowflake ASEAN, Satchit Joglekar berkata, dengan keutamaan terhadap kedaulatan data yang semakin meningkat, serta pelaksanaan Dasar Pengkomputeran Awan Nasional Malaysia, pelanggan kini memerlukan keyakinan bahawa data mereka kekal berada dalam negara.

 

“Pengumuman hari ini merupakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh pematuhan dan keselamatan data sambil mengurangkan latency, membolehkan pelanggan kami dalam sektor awam dan swasta berinovasi dengan lebih pantas dan selamat. Ia juga mencerminkan komitmen kami terhadap Malaysia serta kerjasama berterusan dengan AWS.”


 

bas

 


Langkah ini sejajar dengan agenda transformasi digital Malaysia yang memberi penekanan kepada infrastruktur awan yang selamat dan berdaulat sebagai asas kepada inovasi. Melalui kerjasama dengan AWS, Snowflake berhasrat memperkasa organisasi tempatan dalam sektor kewangan, penjagaan kesihatan, telekomunikasi dan kerajaan untuk menerajui strategi data berasaskan AI dengan lebih tangkas.

 

“Dalam ekonomi berasaskan AI masa kini, data dan inovasi merupakan keperluan utama untuk membina ekosistem digital yang kukuh,” kata Kirsten Gilbertson, Partner Organization Leader, AWS ASEAN.

 

“Perancangan pelancaran Snowflake di AWS Asia Pacific (Malaysia) Region akan membolehkan organisasi Malaysia meneroka potensi data dengan lebih yakin, sambil memenuhi keperluan ketat pematuhan dan kediaman data.”

 

Beberapa pelanggan dan rakan kongsi tempatan turut menyambut baik pengumuman ini. Antara yang telah menggunakan platform AI Data Cloud Snowflake di Malaysia termasuk ADA, GXBank dan Hextech Vision Sdn Bhd.

 

“Platform canggih Snowflake menjadi satu sumber kebenaran tunggal di MoneyX, di mana kami menyatukan data pelanggan dan perniagaan merentasi setiap titik sentuhan,” kata Dato’ Eddie Ong Choo Meng, Ketua Pegawai Eksekutif Hextech.

 

“Dengan pelaksanaan Snowflake di AWS Malaysia kelak, kami akan menikmati jaminan kediaman data serta latency yang lebih rendah — membolehkan kami menawarkan penyelesaian kewangan diperibadikan kepada pelanggan dengan lebih pantas dan tepat.”

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ADA, Srinivas Gattamneni, berkata Snowflake memainkan peranan penting dalam beberapa penyelesaian industri utama syarikat itu.

 

“Snowflake menjana pelbagai penyelesaian utama ADA termasuk Customer 360, Intelligent Commerce serta pemecut data dan AI yang menggerakkan pengenalan, pemperibadian dan e-dagang menyeluruh. Dengan pelancaran di rantau Malaysia ini, kami dapat memberikan penyelesaian tersebut dengan latency lebih rendah dan pematuhan kediaman data sepenuhnya — satu kelebihan penting bagi industri seperti perbankan, telekomunikasi dan penjagaan kesihatan, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab perdagangan berasaskan AI di rantau ASEAN.”

 

Setelah beroperasi kelak, instance Malaysia akan menjadi sebahagian daripada rangkaian global Snowflake yang terus berkembang, menyokong organisasi dalam memanfaatkan data secara selamat untuk tujuan inovasi, pematuhan dan pertumbuhan. - DagangNews.com