KUALA LUMPUR 24 Mac - SMRT Holdings Berhad berhasrat memindahkan penyenaraian dan sebut harga seluruh modal saham terbitannya daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama di Bursa Malaysia.
UOB Kay Hian (UOBKH), bagi pihak Lembaga Pengarah SMRT berkata, kumpulan itu memenuhi syarat di bawah Garis Panduan Ekuiti Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.
Antaranya keuntungan selepas cukai (PAT) pelarasan sebanyak RM26.87 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, dengan untung mencecah RM70.39 juta bagi tempoh tiga tahun sebelum itu.
"Jumlah agregat pelarasan sebanyak RM68.22 juta turut jauh melebihi syarat minimum RM20 juta yang ditetapkan oleh pihak berkuasa," jelas SMRT dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Lembaga Pengarahnya percaya perpindahan ini akan meningkatkan kredibiliti, prestij, dan reputasi syarikat serta memberikan pengiktirafan besar dalam kalangan pelabur, termasuk pelabur institusi.
Langkah ini juga menambah daya tarikan dan kebolehpasaran sahamnya, selain membina keyakinan rakan perniagaan, pekerja, dan pemegang saham sebagai syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama.
Setakat 30 Jun 2025, SMRT berada dalam kedudukan kewangan yang sihat dengan nisbah semasa sebanyak 11.2 kali, sekali gus mencerminkan tahap keupayaan kukuh untuk memenuhi obligasi jangka pendek.
"Kumpulan berkenaan juga mencatatkan aliran tunai bersih yang positif daripada aktiviti operasi sepanjang tempoh tinjauan tersebut dan tidak mempunyai sebarang kerugian terkumpul," jelasnya.
Selain itu, SMRT dikecualikan daripada keperluan ekuiti Bumiputera kerana anak syarikatnya, N'osairis Technology Solutions Sdn Bhd (NTS), merupakan syarikat berstatus Malaysia Digital.
Subsidiari milik penuh syarikat rumusan teknologi berkenaan tambahnya, berjaya menyumbang kira-kira lebih 50% kepada PAT dicatatkan oleh kumpulan tersebut bagi tahun kewangan 2025 (FY25).
Permohonan kepada pihak berkuasa berkaitan dijangka dikemukakan dalam tempoh dua bulan, dan jika tiada masalah, cadangan perpindahan ini diramalkan selesai pada suku ketiga tahun 2026
UOB Kay Hian secara rasmi dilantik oleh SMRT sebagai penasihat utama bagi cadangan perpindahan penyenaraian ke Pasaran Utama tersebut. - DagangNews.com








