SMJ Energy salur RM89.46 juta dividen, cukai kepada Sabah, aset cecah RM4.82 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SMJ Energy salur RM89.46 juta dividen, cukai kepada Sabah, aset cecah RM4.82 bilion

SMJ Energy memiliki 25% kepentingan ekuiti dalam Petronas Chemicals Fertiliser Sabah Sdn. Bhd., yang mengendalikan kompleks pengeluaran ammonia dan urea bersepadu satu barisan terbesar di Asia Tenggara di Sipitang, Sabah. - Gambar/ Laman Web SMJ Energy
Oleh HAMDEN RAMLI

KOTA KINABALU 21 Julai - Kerajaan Sabah menerima dividen dan cukai berjumlah RM89.46 juta daripada SMJ Energy Sdn. Bhd. (SMJE), sekali gus mencerminkan prestasi kewangan mampan syarikat milik kerajaan negeri itu dalam memperkukuh penyertaan Sabah dalam sektor minyak dan gas.

 

Penyerahan replika cek disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMJE, Datuk Dr. Dionysia Kibat, kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Mohd. Sofian Alfian Nair di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.

 

Daripada jumlah tersebut, RM50 juta merupakan pembayaran dividen bagi tahun kewangan berakhir 2025, manakala RM37.96 juta lagi adalah bayaran cukai jualan negeri bagi tahun lalu.

 

Menurut kenyataan Jabatan Ketua Menteri Sabah, SMJE telah membayar dividen terkumpul sebanyak RM210 juta kepada kerajaan negeri sejak 2023.

 

Katanya, pembayaran dividen itu disokong oleh rizab boleh agih, kedudukan kunci kira-kira yang kukuh, aliran tunai yang lebih mantap serta amalan pengurusan kewangan berdisiplin di seluruh kumpulan.

 

SMJ

 

Sehingga 31 Disember 2025, Kumpulan SMJ Energy merekodkan jumlah aset sebanyak RM4.82 bilion dengan keuntungan selepas cukai berjumlah RM58.7 juta, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi, sosial dan geopolitik.

 

Pada majlis sama, SMJE turut menyalurkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebanyak RM1 juta kepada Tabung Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah yang diterima Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah, Datuk Norlijah Danin.

 

Syarikat itu turut menyumbang RM500,000 kepada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) yang diterima Pengarahnya, Datuk Diyanah Abdullah.

 

Hajiji berkata, pembayaran dividen dan cukai jualan negeri itu membuktikan prestasi kewangan mampan SMJE serta kejayaannya melaksanakan mandat kerajaan negeri untuk meningkatkan penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas.

 

Sementara itu, Pengerusi SMJE, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, prestasi syarikat membuktikan nilai pengurusan aset strategik Sabah yang dilaksanakan secara berdisiplin, profesional dan berpandangan jauh.

 

"Tanggungjawab kami adalah mengurus pelaburan strategik negeri secara berhemat supaya ia terus menjana pulangan mampan dan manfaat berkekalan kepada Sabah, bukan sahaja untuk hari ini tetapi juga kepada generasi akan datang," katanya.

 

Masidi yang juga Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah berkata, pendekatan tersebut akan memastikan aset strategik negeri terus memberi nilai jangka panjang kepada rakyat dan ekonomi Sabah. - DagangNews.com