Slim Chickens buka restoran kedua Malaysia di NU Sentral | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Slim Chickens buka restoran kedua Malaysia di NU Sentral

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 April – Slim Chickens Malaysia kini membuka restoran keduanya di NU Sentral selepas kejayaan cawangan pertama di  SS15, Subang Jaya pada tahun 2025.

 

Malaysia adalah negara pertama yang mempunyai operasi perniagaan francais jenama makanan itu di Asia.

 

Pengarah Pemasarannya, Shuen Chiu berkata mereka bercadang membuka sekurang-kurangnya 9 hingga 12 outlet tambahan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, dengan fokus kepada pertumbuhan jangka panjang yang mampan.

 

“Keunikan Slim Chickens ialah menu hirisan ayam tender yang rangup, berperisa dan berjus dipadankan dengan 12 sos hasil resipi sendiri restoran ini.

 

“Nilai teras jenama ini adalah hospitaliti ala Selatan Amerika, di mana pelanggan disambut dengan mesra selain memastikan setiap hidangan berkualiti tinggi, bersih, konsisten dan pada harga mampu milik,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Slim Chickens Malaysia juga telah memperoleh pengesahan halal bagi semua premis operasinya dan mengekalkan kawalan dalaman yang ketat sepanjang rantaian bekalan, daripada sumber bahan mentah halal hingga penyediaan makanan di dapur.

 

Antara menu Slim Chickens yang lain termasuk pelbagai pilihan salad segar, sandwic, sayap ayam dan hidangan sampingan unik.

 

Pada 2025, Slim Chickens mencatat pertumbuhan restoran global hampir 25 peratus, dengan lebih 300 outlet beroperasi dan lebih 1,000 lokasi dalam pembangunan di seluruh dunia. 

 

Tahun ini, jenama ini merancang memasuki pasaran baharu termasuk Poland, Turki, Arab Saudi dan Filipina.

 

Slim Chickens menawarkan peluang francais utama dengan sokongan pasukan kepimpinan berpengalaman dan sistem sokongan francais bertaraf dunia, selari dengan strategi jenama untuk pertumbuhan mampan jangka panjang di Asia. - DagangNews.com