KUALA LUMPUR 9 Julai – Syarikat pemaju hartanah, SkyWorld Development Bhd membeli sebidang tanah seluas 10.4 hektar di Batu Kawan, Pulau Pinang untuk projek pembangunan Rumah Mampu Milik Bakat Baru MADANI (RBB).
Tanah tersebut yang berharga RM48.51 juta adalah sebahagian daripada kawasan seluas 65.3 hektar di Bandar Cassia, Seberang Perai Selatan.
Projek itu akan dibangunkan melalui kerjasama antara SkyWorld, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan anak syarikatnya, PDC Properties.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, anak syarikat milik penuh SkyWorld iaitu SkyWorld Cassia Development Sdn Bhd berkata, pihaknya telah memeterai perjanjian jual beli dengan PDC bagi memperoleh tanah tersebut yang berharga RM43 untuk setiap kaki persegi.
"Pembelian ini dibuat selepas mendapat kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa SkyWorld pada April 2025 bagi cadangan kerjasama pembangunan tersebut," katanya.
Inisiatif RBB yang diumumkan pada Disember 2024 menyasarkan isi rumah berpendapatan sederhana dengan pendapatan bulanan di bawah RM11,800, menawarkan unit kediaman pada harga antara RM225,000 hingga RM420,000.
Unit kediaman tersebut akan dilengkapi dengan kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, dewan serbaguna dan taman permainan dan ditawarkan kepada rakyat Pulau Pinang serta penduduk luar yang bekerja di negeri itu.
Projek bernilai RM13 bilion itu meliputi dua kawasan pembangunan iaitu sebidang tanah seluas 13.7 hektar di Seberang Jaya dan tanah seluas 65.3 hektar di Batu Kawan.
SkyWorld menjelaskan pembelian ini akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman, pinjaman bank serta lebihan hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO).
Urus niaga dijangka selesai menjelang suku kedua 2026.- DagangNews.com








