Skyline Optical lantik MCI Capital sebagai penasihat kewangan bagi terbitan IPO di Bursa Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Skyline Optical lantik MCI Capital sebagai penasihat kewangan bagi terbitan IPO di Bursa Singapura

(Dari kiri) : Evolve Capital Pte Ltd, Andy Chi, Pengerusi dan Rakan Kongsi MCI Capital, Datuk Cannis Chan, dan Pengasas Skyline Optical Group, Frian Lin, menandatangani dokumen pelantikan rasmi dalam satu majlis di Grand Hyatt Kuala Lumpur.
Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 20 Jun — Skyline Optical Group Sdn Bhd melantik MCI Capital Sdn Bhd sebagai penasihat kewangan bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Singapura, Singapore Exchange (SGX), sebagai langkah mengembangkan operasi ke peringkat serantau.

 

Syarikat itu sedang menilai struktur penyenaraian dan garis masa paling optimum, dengan keputusan akan dimuktamadkan selepas proses penilaian wajar serta kelulusan pihak berkuasa diperoleh.

 

skyline

 

Pengasas Skyline Optical Group, Frian Lin berkata, penyenaraian yang dicadangkan itu merupakan langkah penting dalam pelan pengembangan syarikat, selaras dengan usaha memanfaatkan pasaran modal kukuh di Singapura bagi menjana pertumbuhan serantau.

 

Sementara itu, Pengerusi dan Rakan Kongsi MCI Capital, Datuk Cannis Chan berkata, Skyline Optical merupakan syarikat yang kukuh dan menguntungkan dengan prospek pertumbuhan yang positif serta berpotensi menarik minat pelabur antarabangsa, khususnya di SGX.

 

skyline

 

"Kami teruja untuk bekerjasama dengan Frian dan pasukannya bagi membuka akses lebih luas kepada modal, meningkatkan keterlihatan jenama serta menyediakan platform kukuh untuk pengembangan antarabangsa dalam sektor pengedaran cermin mata," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beroperasi sejak 2008, Skyline Optical merupakan pengedar utama bingkai cermin mata dan kaca mata hitam di Malaysia, dengan rangkaian B2B serantau yang membekalkan kepada peruncit dan rangkaian optik. 

 

skyline

 

Usaha pengembangan syarikat juga merangkumi penubuhan anak syarikat J & J International Eyewear dan Tag Spec Sdn Bhd, masing-masing pada 2022 dan 2023.

 

skyline

 

Seiring pelantikan penasihat IPO, kedua-dua syaikat turut melancarkan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada komuniti berpendapatan rendah (B40) di Lembah Klang.

 

Sebanyak 6,000 pasang cermin mata preskripsi akan diagihkan secara percuma kepada keluarga kurang berkemampuan, sebagai usaha memenuhi keperluan penjagaan penglihatan asas.- DagangNews.com