KUALA LUMPUR 13 Mac — Pereka semikonduktor SkyeChip Sdn Bhd sedang mempertimbangkan menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia dengan menyasarkan harga bernilai lebih RM1 bilion (AS$226 juta).
Syarikat berkenaan yang diasaskan pada 2019 dan berpangkalan di Bayan Lepas, Pulau Pinang itu merancang penerbitan IPO tersebut pada seawal tempoh separuh kedua tahun ini (2H25).
Bagaimanapun saiz dan masa tawaran berkenaan mungkin boleh berubah kerana perbincangan yang masih lagi sedang berjalan dan pihak pengurusan SkyeChip dilaporkan setakat ini tidak menjawab permintaan untuk sebarang komen, lapor Bloomberg.
Penganalisis di Kenanga Investment Bank Bhd yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Cheow Ming Liang pernah menulis dalam laporannya minggu lalu yang menyentuh persediaan SkyeChip untuk mendapat manfaat daripada cita-cita Malaysia dalam pembuatan cip.
Ia berdasarkan kepada kepakaran teknikal firma berkenaan dalam bidang tersebut dengan memiliki sejumlah 330 pereka berpengalaman cip bersepadu dan syarikat itu sendiri memegang sebanyak 102 paten hak cipta daripada Amerika Syarikat. - DagangNews.com








