Skor NTI meningkat ke 0.79, bukti keberkesanan pelaburan latihan dalam sektor strategik - HRD Corp | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Skor NTI meningkat ke 0.79, bukti keberkesanan pelaburan latihan dalam sektor strategik - HRD Corp

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Julai - Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah melancarkan edisi ketiga Laporan Indeks Latihan Kebangsaan (NTI) 2024 sebagai penanda aras nasional dalam menjejak penyertaan, pelaburan dan hasil latihan tenaga kerja merentas pelbagai sektor utama negara.

 

NTI 2024 memberikan pandangan berasaskan data yang menyeluruh terhadap landskap latihan di Malaysia, merangkumi tiga dimensi teras iaitu tahap kesiapsiagaan firma, pembangunan kemahiran pekerja dan keberkesanan penyedia latihan.

 

Dibangunkan menggunakan sumber data latihan HRD Corp yang meluas, NTI bertujuan membantu penggubal dasar, majikan, penyedia latihan dan penyelidik membuat keputusan tepat dalam membina tenaga kerja yang berkemahiran dan berdaya tahan.

 

Sebagai alat strategik, laporan itu turut menilai arah aliran industri, keperluan latihan semasa dan indikator prestasi sektor yang dapat membimbing pelaburan modal insan serta kesediaan tenaga kerja negara menghadapi cabaran ekonomi global.

 

Pegawai strategi korporat, Dr Rony Ambrose Gobilee berkata, NTI adalah komitmen Malaysia dalam melengkapkan rakyat dengan kemahiran yang sesuai untuk menghadapi ekonomi masa depan.

 

Beliau berkata, NTI 2024 turut merekodkan peningkatan dalam beberapa indikator utama, termasuk skor keseluruhan NTI yang naik daripada 0.75 pada 2023 kepada 0.79 pada tahun ini.

 

"Ia adalah peningkatan akses kepada latihan dalam bidang strategik seperti kemahiran digital, penjagaan kesihatan dan teknologi hijau.

 

"Kadar penggunaan levi latihan juga meningkat daripada 71 peratus kepada 85 peratus, mencerminkan komitmen lebih tinggi daripada majikan untuk melabur dalam latihan, sejajar dengan peralihan fokus ke arah pembangunan modal insan sebagai keutamaan strategik," katanya.

 

Tambahnya, NTI bukan sahaja menyokong kerangka dasar nasional seperti Rancangan Malaysia, Pelan Tindakan Daya Saing Negara 2025 dan pelan latihan negeri, malah turut membantu mengenal pasti jurang latihan serta menyelaraskan penawaran tenaga kerja dengan permintaan industri.

 

NTI telah memperkasakan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pembuat dasar, penyedia latihan dan majikan untuk merancang strategi pembangunan bakat dengan lebih efektif, serta menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

 

"Edisi 2024 turut mengukuhkan komitmen HRD Corp dan Kementerian Sumber Manusia terhadap pembangunan kemahiran di peringkat serantau, selaras dengan inisiatif ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025 dan Minggu Latihan Nasional (NTW) 2025," katanya.

 

NTI 2024 telah dilancarkan sempena forum “Navigating the New Normal: How ASEAN’s Evolving Tariff Landscape Is Shaping Business, Talent and Skills”, yang diadakan bersempena NTW 2025.

 

Dengan menghimpunkan data masa nyata, analisis sektor dan penanda aras nasional, NTI dijangka memainkan peranan penting dalam mentransformasikan perancangan tenaga kerja dan pelaburan modal insan negara.- DagangNews.com