KUALA LUMPUR 31 Mac — Peralihan strategik ke arah pembangunan hartanah perindustrian dan pusat data (DC) dilihat sebagai pemangkin utama mendorong penilaian semula saham Sime Darby Property Berhad.
Menurut CIMB Securities, perkembangan positif itu sekali gus berjaya menyokong prospek pertumbuhan pendapatan jangka sederhana kumpulan pemaju berkenaan dalam pasaran hartanah di seluruh negara.
Firma penyelidikan itu turut menyambung semula liputan ke atas syarikat berkenaan dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM1.75 sesaham yang berdasarkan kepada kaedah jumlah bahagian (SOP).
"Sime Darby Property dijangka mencatat kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) pendapatan sesaham 9%, dipacu sasaran jualan hartanah baharu sebanyak RM4 bilion bagi FY26," tambahnya lagi.
Situasi itu kata CIMB Securities, disokong oleh peningkatan sumbangan segmen perindustrian dalam portfolionya, manakala prospek ini turut didorong pulangan atas ekuiti (ROE) yang lebih baik.
Justeru, firma tersebut menjangka ROE meningkat kepada 5.2% hingga 5.9% bagi FY26 hingga FY28, selain pengembangan aset di bawah pengurusan yang menjana pendapatan secara berulang.
CIMB Securities berkata, kedudukan kewangan Sime Darby Property kekal terkawal dengan nisbah gear bersih kumpulan dijangka memuncak pada 48.8% menjelang FY28, dan masih di bawah had dalaman 50%.

"Pada masa sama, aliran tunai baharu daripada pelbagai projek DC dijangka mula direalisasikan seawal tahun depan, dengan penyiapan penuh menjelang 2028," jelas firma penyelidikan berkenaan.
Kumpulan itu memperoleh kontrak pajakan DC bernilai gabungan RM7.6 bilion di Elmina Business Park bagi tempoh 20 tahun, yang dijangka menyumbang secara signifikan kepada hasil berulang mulai FY27.
Berdasarkan tempoh pajakan awal, projek ini dianggarkan menjana RM794 juta atau 7% kepada nilai SOP, dan berpotensi meningkat kepada RM1.2 billion jika lanjutan ‘5+5 tahun’ dilaksanakan pula.
Inisiatif ini menurut CIMB Securities, merupakan sebahagian daripada pelan strategik SHIFT32 (2026–2032) Sime Darby Property yang memberi tumpuan kepada pengukuhan asas pendapatan berulang.
"Dari sudut pegangan saham pelabur asing berada pada 8.5% setakat akhir Februari 2026, menghampiri paras rendah dalam julat sejarah berbanding kemuncak hampir 15% pada November 2017," katanya.
Secara keseluruhan, firma itu berpandangan strategi pengukuhan segmen perindustrian dan hasil berulang mampu meningkatkan keuntungan serta menyokong penilaian semula saham. - DagangNews.com








