KUALA LUMPUR 21 Nov – Sime Darby Property (SDPR) yang mencatat prestasi kewangan kukuh bagi 3Q25 dan 9M25, dijangka mengekalkan momentum berkenaan, malah penganalisis menjangkakan kumpulan itu mampu melebihi sasaran jualan FY25.,
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, bagi jualan hartanah, SDPR telah mengunci RM3.4 bilion pada 9M25, dengan 38% daripada jualan di sektor industri, 25% kediaman, 23% projek tinggi, dan 14% lain-lain.
"Jumlah ini mewakili 94% daripada sasaran FY25 SDPR dan 92% daripada unjuran firma pelaburan. Dengan tempahan tambahan sebanyak RM1.5 bilion setakat November 2025, SDPR dijangka melebihi sasaran jualan FY25," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Seiring prestasi kukuh ini, Maybank IB telah menaikkan unjuran keuntungan FY25–27E sebanyak 2–8% dan menaikkan andaian jualan FY25 kepada RM4.1 bilion, naik 9% daripada unjuran sebelumnya. Maybank IB juga menaik taraf saham SDPR kepada BELI dengan harga sasaran baru RM1.52.
"SDPR kekal menarik bagi pelabur kerana pendedahan signifikan kepada segmen hartanah kediaman dan industri, serta asas pendapatan berulang yang berkembang," katanya lagi.
Maybank IB menambah, kerjasama strategik dengan SD Guthrie untuk membangunkan 3,000 ekar di Kuala Selangor dan 2,000 ekar di Carey Island dijangka meletakkan SDPR sebagai salah satu pemain taman perindustrian terbesar di Malaysia.
Menurut firma itu lagi, keuntungan bersih teras SDPR bagi 3Q25 meningkat kepada RM185.2 juta, naik 30% suku ke suku (QoQ) dan 40% tahun ke tahun (YoY). Ini menyumbang kepada keuntungan bersih teras 9M25 sebanyak RM442.3 juta, meningkat 7% YoY dan mewakili 80% daripada sasaran FY25E penganalisis serta konsensus pasaran.
Keuntungan yang melebihi jangkaan itu didorong terutamanya oleh pendapatan kewangan yang lebih tinggi daripada dijangka. Pada akhir 3Q25, gearing bersih SDPR meningkat sedikit kepada 0.34x daripada 0.31x pada 2Q25, dan dijangka meningkat kepada 0.36x menjelang akhir FY25 selaras dengan kemajuan pembinaan dua pusat data syarikat.
Sementara itu CGS International (CGSI), turut menjangkakan SDPR akan melebihi sasaran jualan FY25F sebanyak RM3.6 bilion sambil secara berperingkat meningkatkan aliran pendapatan berulang melalui aset baharu.
Sehubungan itu, firma berkenaan mengekalkan saranan TAMBAH, dengan harga sasaran (TP) sedikit lebih tinggi kepada RM1.95, berdasarkan diskaun 40% kepada RNAV, susulan penilaian dinaikkan ke FY26F.
Menurut CGSI, prestasi melebihi jangkaan ini disokong oleh margin keuntungan yang lebih tinggi daripada dijangka, kemungkinan berpunca daripada penjimatan kos dalam projek yang sedang berjalan.
Tambah firma itu, walaupun pelancaran 9MFY25 sebanyak RM2.5 bilion kelihatan sederhana berbanding RM2.2 bilion pada 1HFY25, pihak pengurusan menyasarkan RM1.5 bilion tambahan dalam 4QFY25F, membolehkan SDPR mencapai sasaran pelancaran FY25F sebanyak RM4 bilion.
"Pihak pengurusan tidak menolak kemungkinan volatiliti margin jangka pendek akibat cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperluaskan, tetapi yakin bahawa pasaran hartanah domestik yang kukuh akan mengurangkan kesan tersebut," kata firma itu lagi. - DagangNews.com








