Sime Darby Property diramal jana hasil daripada hartanah perindustrian - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sime Darby Property diramal jana hasil daripada hartanah perindustrian - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Mei — Sime Darby Property Berhad diramal mampu menjana hasil daripada hartanah perindustrian terutama pajakan dua pusat data di Elmina Business Park yang kurang diberi tumpuan oleh pasaran.


Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan tersebut turut mengukuhkan portfolio dalam hartanah pelaburan baru-baru ini dengan memperoleh baki kepentingan untuk dua gudang logistik moden bernilai RM232 juta.


Langkah terkini itu tambahnya, berpotensi membuka laluan kepada penyenaraian segmen amanah pelaburan hartanah (REIT) kumpulan berkenaan dalam tempoh satu hingga dua tahun.


"REIT harus memiliki kekuatan dalam hartanah perindustrian yang berkualiti baik, dan sepatutnya memperoleh penilaian bertaraf premium," katanya dalam satu nota kajian.


Setakat ini, projek Pusat Data 1 berada di landasan tepat untuk disiapkan pada suku ketiga 2026 manakala kerja pembinaan Pusat Data 2 dengan tender pada separuh kedua 2025 pula dijangka selesai dibangunkan pada 2027.


Walaupun pelan pembiayaan bagi Pusat Data 2 belum lengkap, firma itu yakin berdasarkan usaha Sime Darby Property baru-baru ini berjaya menaikkan sukuk RM800 juta pada kadar sangat menarik sehingga terlebih langganan 6.74 kali.


RHB Research berkata, dana yang dikumpul dengan tempoh matang tujuh hingga 15 tahun itu dapat digunakan terutama sebagai modal kerja jangka panjang bagi tujuan mengembangkan portfolio industri, logistik dan pusat data.


"Kami tidak tolak andaian kumpulan itu bersedia mengembangkan portfolio hartanah pelaburan kerana berdasarkan laporan kewangan 2024, ia ada ruang hutang sebanyak RM3.7 bilion yang tidak menjadi kebimbangan besar," katanya.


Firma itu menjangka, Sime Darby Property akan memiliki 100 peratus daripada pajakan 20 tahun dua pusat data bernilai RM7.6 bilion secara keseluruhan serta menganggarkan sumbangan hasil RM150 juta hingga RM160 juta setahun.


Pajakan tersebut juga kata RHB Research, dijangka meningkatkan keuntungan bersih lebih 20 peratus dari tempoh FY28 dan seterusnya dan dijangka berkembang secara progresif dalam tempoh 20 tahun disebabkan oleh ciri peningkatan.


Pada masa ini, Sime Darvy Property juga mempunyai sejumlah 0.14 juta meter persegi kawasan runcit bersih yang boleh disewa, termasuk KLGCC Mall yang akan datang.


“Bagaimanapun, portfolio hartanah perindustriannya lebih besar termasuk dua gudang logistik di Bandar Bukit Raja (RM232 juta), dua pusat data skala besar (RM6 bilion), serta Metrohub 1 dan 2 di Bandar Bukit Raja, Selangor," katanya.


Ia menambah, sebanyak tujuh projek taman perindustrian dilaksanakan kumpulan itu kini berada di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor yang akan menawarkan banyak peluang bagi membina portfolio perindustrian. - DagangNews.com