KUALA LUMPUR 21 Ogos – Sime Darby Property Berhad mencatatkan prestasi kukuh bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2025, disokong oleh permintaan pasaran yang sihat dan pelaksanaan operasi yang kukuh.
Dalam kenyataan hari ini syarikat itu memaklumkan telah merekodkan pendapatan berjumlah RM1.9 bilion, keuntungan operasi (OP) sebanyak RM434.8 juta, dan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM398.4 juta.
Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) yang berjumlah RM262.0 juta, didorong oleh momentum jualan yang berterusan merentasi campuran produk yang pelbagai, serta pengurusan kos yang berdisiplin.
Segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang terbesar, menjana pendapatan sebanyak RM1.8 bilion dan PBT sebanyak RM368.7 juta, dipacu oleh aktiviti jualan yang kukuh dan kemajuan pembangunan di tapak bagi bandar-bandar utama seperti City of Elmina, Bandar Bukit Raja, Serenia City dan Nilai Impian.
Segmen Pelaburan & Pengurusan Aset (IAM) mencatatkan pertumbuhan pendapatan tahun ke tahun (“YoY”) sebanyak 34% kepada RM78.0 juta, manakala PBT meningkat lebih dua kali ganda kepada RM32.2 juta.
Peningkatan ini didorong terutamanya oleh prestasi kukuh sub-segmen runcit yang diterajui oleh KL East Mall dan Elmina Lakeside Mall yang mengekalkan kadar penghunian hampir penuh, aliran pengunjung yang memberangsangkan, serta semakan sewa yang positif, di samping pengurangan bahagian kerugian daripada usaha sama.

Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, prestasi separuh pertama syarikat menunjukkan kekuatan momentum jualan serta kepelbagaian portfolio.
"Secara khususnya, kami berbesar hati dengan pertumbuhan segmen IAM, yang dipacu oleh prestasi runcit yang kukuh,” ujarnya.
Bagi mencerminkan komitmen syarikat terhadap penyampaian nilai kepada pemegang saham, Sime Darby Property mengisytiharkan dividen pertamanya sebanyak 1.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berjumlah keseluruhan RM102 juta.
Azmir berkata, melihat ke hadapan, Sime Darby Property kekal fokus untuk menyampaikan pertumbuhan mampan dan menggandakan nilai jangka panjang.
“Menjelang separuh kedua FY25, kami berada di landasan untuk mencapai sasaran tahun ini, disokong oleh permintaan yang stabil merentasi sektor utama termasuk industri dan kediaman.
"Dengan jualan belum dibil yang sihat dan barisan projek yang kukuh yang kukuh, kami berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi ketidaktentuan pasaran dan menjana pertumbuhan mampan menyampaikan pertumbuhan mampan,” katanya. - DagangNews.com








