KUALA LUMPUR 6 April — Silver Ridge Holdings Berhad memperoleh kontrak bagi kerja-kerja pengubahsuaian projek pembangunan komersial bercampur berjumlah RM2.66 juta di Medini, Johor.
Menurut kumpulan tersebut, surat penganugerahan (LOA) tender berkenaan diperoleh anak syarikat milik penuhnya, Ingress Delta Construction Sdn Bhd daripada Sunway Iskandar Sdn Bhd.
Kontrak itu melibatkan kerja-kerja pengubahsuaian bagi premis di aras tanah hingga tingkat dua di tapak pembangunan berstrata yang merangkumi ruang pejabat serta pangsapuri perkhidmatan.
"Projek ini dilaksanakan dalam dua fasa, dengan Fasa 1 bernilai RM1.97 juta bermula 1 April 2026 dan dijangka siap pada 30 Jun 2026," kata Silver Ridge dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Sementara Fasa 2 pula jelas kumpulan tersebut, dianggarkan bernilai RM692,066, dengan tempoh pelaksanaan selama tiga bulan dari tarikh notis mula kerja yang akan ditetapkan kemudian.
Kumpulan itu menjelaskan kontrak berkenaan adalah sebahagian daripada aktiviti perniagaan terasnya dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
Selain itu ujarnya, kontrak berkenaan tidak akan memberi kesan material terhadap modal saham terbitan, pegangan pemegang saham utama, aset bersih sesaham atau tahap penggearan kumpulan.
"Lembaga Pengarah Silver Ridge turut berpandangan yang selain risiko operasi biasa, tiada faktor risiko luar jangka yang ketara berkaitan pelaksanaan projek tersebut," jelasnya.
Pada masa sama tambah kumpulan tersebut, tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkepentingan yang dilaporkan mempunyai sebarang kepentingan dalam kontrak berkenaan.
Silver Ridge turut menegaskan penerimaan kontrak itu adalah dalam kepentingan terbaik kumpulan serta menyokong prospek pertumbuhan pendapatan pada masa hadapan. - DagangNews.com








