KUALA LUMPUR 24 Nov – Signature Alliance Group Berhad (SAG) yang tersenarai di Pasaran ACE pada 5 Jun lalu, mencatatkan prestasi kukuh pada suku ketiga berakhir 30 September 2025 dengan keuntungan selepas cukai berjumlah RM9.76 juta.
Ini menjadikan jumlah keuntungan bagi tempoh sembilan bulan pertama FY2025 meningkat kepada RM32.27 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pembinaan dan hiasan dalaman itu melaporkan hasil suku ketiga sebanyak RM116.9 juta, menjadikan jumlah hasil terkumpul mencecah RM382.25 juta.
“Margin syarikat kekal stabil dengan keuntungan sebelum cukai RM13.38 juta pada suku berkenaan, dipacu keuntungan kasar RM22.68 juta serta pendapatan lain berjumlah RM1.15 juta.
“SAG turut mengekalkan kedudukan tunai yang kukuh selepas penyenaraian, dengan peningkatan ketara dalam aset semasa kepada RM445.59 juta berbanding RM249.25 juta pada akhir 2024.
“Ini didorong oleh tahap kontrak belum siap (contract assets) yang lebih tinggi serta penempatan deposit tetap selepas terimaan modal IPO,” katanya dalam makluman tersebut.
Aset keseluruhan kumpulan melonjak kepada RM471.48 juta daripada RM274.41 juta sebelumnya.
Dari segi liabiliti, SAG mencatatkan jumlah liabiliti RM224.61 juta, dipacu oleh kenaikan dagangan belum bayar serta liabiliti kontrak selaras dengan peningkatan aktiviti projek.
Syarikat menutup tempoh dengan ekuiti pemegang saham RM246.87 juta, naik ketara berbanding RM66.14 juta pada 31 Disember 2024 berikutan penstrukturan korporat dan terimaan hasil IPO.
Bagi aliran tunai, SAG menjana RM2.08 juta daripada operasi, manakala aktiviti pembiayaan menyumbang aliran tunai bersih RM136.62 juta, terutamanya daripada penerbitan saham baharu semasa IPO.
Pada akhir suku, syarikat merekodkan tunai dan setara tunai RM175.10 juta.
Laporan ini merupakan penyata kewangan suku ketiga pertama sejak penyenaraian SAG di Pasaran ACE, justeru tiada angka perbandingan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
SAG menyatakan dasar perakaunan kekal konsisten dan merangkumi pelaksanaan standard MFRS baharu yang relevan mulai 2025. - DagangNews.com








