CAESAR pilihan ATM, kontrak 18 meriam bernilai hampir RM900 juta dimeterai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CAESAR pilihan ATM, kontrak 18 meriam bernilai hampir RM900 juta dimeterai

Sistem meriam CAESAR telah menjadi pilihan 15 buah negara serta teruji di medan perang.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 17 JUN – Penantian lebih 28 tahun Tentera Darat Malaysia untuk mendapatkan meriam mudah gerak (self-propelled howitzer) akhirnya ternoktah apabila kerajaan bersetuju membeli 18 buah sistem CAESAR buatan Perancis.

 

Pembelian ini sekali gus menamatkan persaingan sengit beberapa firma pertahanan luar negara sejak 6 tahun lalu untuk mendapatkan kontrak tersebut.

 

Sebelum dimuktamadkan, persaingan sengit melibatkan beberapa sistem SPH terkemuka dunia termasuk EVA (Slovakia) dan Yavuz (Turkiye).

 

Perolehan sistem meriam CAESAR adalah dalam usaha Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperkukuhkan keupayaan artileri Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

IT
Pengarah Pembangunan Perniagaan ADS Sdn. Bhd., Lt Kol (B) Shane Chin (kiri) disaksikan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman bertukar dokumen selepas memeterai pembelian 18 meriam CAESAR pada pameran Eurosatory 2026 di Paris, Perancis.

 

IT

 

Pengumuman itu dibuat pada pameran pertahanan dan keselamatan antarabangsa Eurosatory 2026 yang berlangsung di Paris, Perancis.

 

Ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama pertahanan antara Malaysia dan syarikat pertahanan Eropah, KNDS.

 

Walaupun tidak disebut, tetapi nilai perolehan CAESAR dianggarkan mencecah RM900 juta.

 

KNDS dalam kenyataan memberitahu, kontrak perolehan tersebut ditandatangani bersama rakan industri tempatan, Advanced Defense System (ADS Sdn Bhd), dan turut merangkumi pemindahan teknologi serta pemasangan sistem berkenaan di Malaysia. 

 

IT
Model satu bateri meriam CAESAR yang dipamerkan pada DSA 2026 lalu.

 

Helikopter

 

 

Langkah itu selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (NDIP) yang menekankan pembangunan industri pertahanan tempatan yang mampan, berdaya tahan dan berkeupayaan tinggi.

 

Dengan perolehan ini, Malaysia menjadi negara ke-15 yang mengoperasikan sistem artileri CAESAR, yang kini telah menerima lebih 800 tempahan dan penghantaran di seluruh dunia. 

 

Tempahan 18 unit tersebut akan membentuk satu rejimen artileri lengkap bagi meningkatkan keupayaan tembakan jarak jauh Tentera Darat Malaysia.

 

CAESAR merupakan sistem artileri beroda yang telah terbukti berkesan dalam pelbagai operasi tempur berintensiti tinggi. 

 

Sistem itu mampu melepaskan enam das tembakan dalam tempoh kurang satu minit dengan jarak jangkauan sehingga 40 kilometer.

 

Kapal

 

Keupayaan mobitinya membolehkan kenderaan meriam berpindah ke lokasi baharu dalam masa kurang dua setengah minit bagi mengelakkan dikesan musuh.

 

Kerjasama antara KNDS dan Malaysia melalui syarikat ADS Sdn Bhd bukanlah sesuatu yang baharu. 

 

Pada tahun 2018, kedua-dua pihak telah menjalin perkongsian strategik menerusi program pembekalan dan pemasangan tempatan meriam ringan LG1 Mk III 105mm buatan Perancis yang digunakan oleh Tentera Darat Malaysia.

 

Sebanyak 18 laras meriam jenis ini dibeli Tentera Darat Malaysia dengan perancangan untuk menambah bilangan sedia ada pada masa hadapan.

 

Dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif KNDS France, Nicolas Groult, berkata, pihaknya berbangga dapat menyokong Tentera Darat Malaysia melalui penghantaran sistem artileri bertaraf dunia yang memenuhi piawaian operasi tertinggi.

 

Beliau berkata, kontrak terbaharu itu mencerminkan komitmen KNDS untuk terus bekerjasama dengan Malaysia dalam membangunkan keupayaan pertahanan negara.

 

Ini juga memperkukuhkan penyertaan industri tempatan melalui program berdikari dan pemindahan teknologi untuk jangka panjang. - DagangNews.com