Shin Yang memperuntukkan RM101 juta perbelanjaan modal bagi FY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Shin Yang memperuntukkan RM101 juta perbelanjaan modal bagi FY2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Nov – Shin Yang Group Bhd memperuntukkan RM101 juta untuk perbelanjaan modal (capex) yang akan dibiayai sepenuhnya daripada sumber dalaman, meningkat berbanding RM90.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY2025).

 

Berdasarkan laporan tahunan 2025, Shin Yang berkata, peruntukan itu adalah sebahagian daripada usaha kumpulan untuk mengembangkan infrastruktur logistik termasuk depot kontena, perkhidmatan haulage dan fasiliti gudang bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan logistik bersepadu miliknya.

 

Shin Yang yang berpangkalan di Miri terlibat dalam perkapalan antarabangsa dan domestik, pembuatan dan pembaikan kapal, pengangkutan dan logistik serta kedai jualan automotif di Sarawak, Sabah dan Labuan. 

 

Ketika ini, Shin Yang mengendalikan 338 ‘prime movers’ dengan 1,031 trailer, 266 lori dump dan kargo, serta 44 tangki untuk diesel dan minyak sawit mentah, membolehkan penghantaran barang secara efisien di seluruh Sarawak dan Sabah.

 

Pengerusi  Shin Yang, Tan Sri Ling Chiong berkata, dalam operasi perkapalan, kumpulan ini mengendalikan 186 kapal dengan jumlah gross tonnage 308,000 tan, merangkumi destinasi tempatan dan antarabangsa termasuk Asia Tenggara, Asia Timur dan Timur Jauh. 

 

Katanya, hasil divisyen perkapalan meningkat kepada RM728.3 juta daripada RM693.1 juta, manakala keuntungan sebelum cukai melonjak kepada RM114 juta daripada RM88.7 juta.

 

“Divisyen logistik pula mencatatkan hasil sebanyak RM51.95 juta berbanding RM52.8 juta tahun sebelumnya dengan keuntungan sebelum cukai RM5.4 juta daripada RM6.5 juta. 

 

“Segmen automotif melalui pengambilalihan kedai Toyota menyumbang RM888.6 juta kepada jumlah perolehan kumpulan dan keuntungan sebelum cukai RM64.4 juta,” katanya.

 

Shin Yang mengendalikan 19 kapal kontena yang melayani pelabuhan utama antara Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam. Kestabilan operasi ini membolehkan kumpulan memenuhi permintaan pelanggan sambil mengoptimumkan penggunaan kapal.

 

Tambahnya, perniagaan pembinaan kapal kumpulan menunjukkan tanda pemulihan dengan buku pesanan semasa berjumlah RM472 juta, disokong oleh sembilan kontrak baharu dan surat hasrat yang diperoleh setakat ini. 

 

“Kumpulan juga menyiapkan dua kapal baharu dan melaksanakan pembaikan untuk 895 kapal berbanding 556 kapal pada tahun sebelumnya, menggunakan dua dok terapung masing-masing sepanjang 160m dan 80m.

 

“Bagi segmen automotif di bawah Boulevard Group, Shin Yang optimis dengan potensi pertumbuhan, memandangkan kedai Toyota mewakili jenama kukuh dengan model konsisten dalam senarai lima teratas jualan terbaik di Malaysia.

 

“Kumpulan akan terus memanfaatkan peluang daripada pembangunan infrastruktur dan kemajuan ekonomi di Sarawak, selain mengukuhkan sinergi operasi antara automotif, logistik dan perkapalan bagi meningkatkan kekerapan dan skala perkhidmatan,” katanya. - DagangNews.com