SHH Resources cadang beli 51% saham Food Wise Network bernilai RM7.3 juta, pelbagaikan perniagaan dalam industri makanan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SHH Resources cadang beli 51% saham Food Wise Network bernilai RM7.3 juta, pelbagaikan perniagaan dalam industri makanan

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Okt - Pengeluar perabot berpangkalan di Johor, SHH Resources Holdings Bhd berkata, ia sedang mempelbagaikan perniagaannya dalam industri makanan dengan memperoleh pegangan majoriti dalam syarikat makanan kesihatan dan buah-buahan sejuk beku.

 

Menurut satu makluman kepada Bursa, kumpulan itu berkata, industri makanan di Malaysia mempunyai potensi pertumbuhan yang ketara berikutan peningkatan permintaan global dan sokongan kerajaan yang kukuh. 

 

Kumpulan itu bercadang membeli 51% saham dalam Food Wise Network Sdn Bhd dengan harga RM7.3 juta daripada Ang Seok Hong dan Abdul Latif Mohd Nasir, yang masing-masing memegang 41% dan 10% pegangan saham dalam syarikat itu. 

 

Katanya, urus niaga itu dijangka selesai pada Julai 2025.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24), SHH mencatat keuntungan bersih RM5.03 juta daripada RM3.5 juta pada tahun sebelumnya.

 

Peningkatan tersebut didorong oleh peningkatan margin keuntungan kasarnya kepada 21.41% daripada 20.24%, terutamanya disebabkan oleh kelemahan ringgit berbanding dolar AS.

 

Kumpulan itu merekodkan perbelanjaan operasi yang lebih rendah sebanyak RM11.72 juta, berbanding RM13.49 juta sebelumnya akibat penurunan kos pembangunan hartanah.

 

Sementara itu SHH Resources catat hasil susut 3.4% kepada RM80.17 juta daripada RM83.03 juta akibat kelembapan dalam permintaan pelanggan dan kadar kontena tinggi yang menyebabkan pelanggan menangguhkan penghantaran perabot.- DagangNews.com