SHB buka hab pembuatan RM600 juta di Senai Airport City | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SHB buka hab pembuatan RM600 juta di Senai Airport City

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 18 Okt - Pengeluar motor automotif global terkemuka, SHB meraikan pembukaan rasmi kemudahan pembuatan luar negara pertamanya di Zon Bebas Senai Airport City (SAC), menandakan satu pencapaian penting dalam strategi globalisasi syarikat itu serta komitmen jangka panjang terhadap rantau Asia Tenggara.

 

Dengan pelaburan berjumlah RM600 juta, kemudahan baharu ini akan menjadi hab pengeluaran utama bagi sistem motor pengelap cermin dan motor tempat duduk SHB, sekali gus mengukuhkan rantaian bekalan globalnya kepada pengeluar automotif utama dunia.

 

Apabila beroperasi sepenuhnya, kemudahan di Senai dijangka mencapai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 3 juta sistem motor pengelap cermin dan 20 juta motor tempat duduk, menjana jualan tahunan kira-kira RM1.5 bilion.

 

SHB menyasarkan untuk melipatgandakan hasil jualannya kepada RM6 bilion menjelang 2030, dengan kemudahan di Malaysia menjadi teras utama pertumbuhan tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SHB, Carolyn Wang berkata, Malaysia memainkan peranan strategik dalam pelan pertumbuhan global SHB.

 

“Kemudahan ini bukan sahaja kilang pertama kami di luar negara, malah menjadi tonggak penting dalam cita-cita kami untuk muncul sebagai pembekal global kepada pengeluar automotif terkemuka dunia.

 

"Dengan memanfaatkan ekosistem industri dan tenaga kerja berkualiti di Malaysia, kami yakin dapat menghasilkan kualiti bertaraf dunia serta memacu pertumbuhan jangka panjang di rantau ini.”


 

SHB

 


Terletak secara strategik di Zon Bebas Senai Airport City, kemudahan tersebut mendapat manfaat daripada ekosistem industri yang tersusun, tadbir urus kukuh dan pengurusan profesional.

 

Ia dilengkapi dengan makmal ujian berteknologi tinggi serta barisan pemasangan automatik, yang menyokong pengeluaran untuk pelanggan OEM dan Tier-1 utama seperti Tesla, GM, BMW, VW, Adient dan Forvia.

 

Kemudahan baharu ini bakal mewujudkan kira-kira 200 pekerjaan kejuruteraan mahir serta mendapatkan sumber bekalan daripada sekitar 100 pembekal tempatan, sekali gus memperkukuh komitmen SHB terhadap pembangunan rantaian bekalan pembuatan di Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Johor.

 

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han dan Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport City, Gan Seng Keong.

 

Dalam ucapannya, Liew Chin Tong berkata pembukaan kilang itu melambangkan peralihan Malaysia daripada sebuah negara dagangan kepada negara berteraskan teknologi.

 

“Dahulu, kita melihat diri sebagai sebuah negara perdagangan, tetapi kini kita mahu melihat diri sebagai negara teknologi,” katanya.

 

“Lebih penting, kita mempunyai sektor teknologi peralatan automasi, dan kita mahu melihat penyebaran teknologi serta jalinan kerjasama merentas industri dalam ekosistem kita.”

 

Sementara itu, Gan Seng Keong berkata keputusan SHB menubuhkan fasiliti luar negara pertamanya di Senai Airport City membuktikan keyakinan terhadap daya saing kawasan tersebut.

 

“Langkah SHB ini menunjukkan Senai Airport City merupakan ekosistem pembuatan maju dan pangkalan industri berdaya saing masa depan dalam hab perdagangan global yang strategik,” katanya.

 

“Dengan infrastruktur asas sedia ada, tadbir urus kukuh dan hubungan logistik yang strategik, kami membantu pelabur asing untuk berkembang pesat, bersaing di peringkat antarabangsa dan membangun secara mampan.”

 

Terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Senai Airport City kini muncul sebagai hab utama bagi pembuatan berteknologi tinggi dan pelaburan bernilai tambah, dengan sambungan udara, laut dan darat yang lancar.

 

Lebih daripada sekadar taman perindustrian, Senai Airport City berperanan penting dalam memacu transformasi ekonomi Johor dengan menarik pelaburan asing, menggalakkan pemindahan teknologi serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi — sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai pintu masuk kompetitif bagi perdagangan dan industri global. - DagangNews.com