Shanghai jadi pusat operasi baharu Yinson Production bagi sokong pelaksanaan projek global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Shanghai jadi pusat operasi baharu Yinson Production bagi sokong pelaksanaan projek global

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yinson Production, Flemming Guiducci Grønnegaard menandatangani plak semasa majlis perasmian pembukaan pejabat Yinson Production China di Shanghai
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Mei – Yinson Production membuka pejabat baharu di Shanghai, China sebagai langkah strategik bagi memperkukuh keupayaan pelaksanaan projek serta sokongan pelanggan dalam operasi globalnya.

 

Pembukaan pejabat itu mengukuhkan lagi kehadiran syarikat di salah satu pusat utama kejuruteraan luar pesisir, fabrikasi dan pembinaan kapal dunia.

 

Yinson dalam satu kenyataan memaklumkan pejabat tersebut akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama dengan limbungan kapal, pembekal, rakan fabrikasi serta penyedia teknologi di China.

 

Ia turut bertujuan meningkatkan keupayaan pelaksanaan projek serta tahap responsif operasi bagi memenuhi keperluan pelanggan di pasaran tenaga utama global.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Production, Flemming Guiducci Grønnegaard berkata penubuhan pejabat itu mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat untuk memperkukuh keupayaan pelaksanaan serta membina hubungan lebih mendalam dalam industri kejuruteraan dan maritim China.

 

Beliau berkata China kini menjadi sebahagian penting dalam ekosistem projek global syarikat, khususnya apabila skala dan kerumitan projek semakin meningkat.

 

“Kerjasama rapat dengan limbungan kapal, pembekal dan rakan kejuruteraan menjadi semakin kritikal bagi memastikan projek dapat disiapkan dengan selamat, tepat pada masa, mengikut bajet serta memenuhi standard kualiti pelanggan.

 

“Industri tenaga luar pesisir kini semakin kompleks dengan pelanggan menuntut pelaksanaan lebih selamat, cekap, rendah karbon, integrasi digital lebih kukuh serta tempoh penghantaran lebih pantas,” katanya dalam satu kenyataan.

 

t

 

Yinson Production berkata pencapaian tersebut hanya boleh dicapai melalui organisasi yang global, tangkas dan kolaboratif, dan pejabat Shanghai akan memperkukuh aspek berkenaan.

 

Majlis pembukaan pejabat turut disertai oleh pengurusan tertinggi kumpulan termasuk Pengerusi Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Han Weng serta Pengarah Eksekutif Bukan Bebas, Bah Kim Lian.

 

Penglibatan Yinson Production dengan ekosistem limbungan kapal China telah bermula lebih sedekad lalu termasuk kerja berkaitan FPSO John Agyekum Kufuor sekitar tahun 2014.

 

Kerjasama itu kemudian berkembang dengan ketara sejak sekitar tahun 2020 apabila projek syarikat menjadi lebih besar dan kompleks dari segi kejuruteraan dan pelaksanaan.

 

Sepanjang tempoh itu, pelbagai kerja melibatkan projek FPSO dan FSO termasuk fabrikasi, integrasi, pembinaan, naik taraf serta sokongan pengubahsuaian telah dijalankan di China.

 

Antara rakan limbungan utama yang terlibat termasuk COSCO Shipping Heavy Industry di Shanghai dan Qidong, Nantong Strongwind Shipyard, CIMC Raffles, Huarun Dadong Dockyard serta Jiangsu Libert INC.

 

Kerjasama ini menyokong pelaksanaan projek Yinson Production merentasi beberapa pasaran utama termasuk Brazil, Afrika Barat dan Vietnam.

 

Pada masa ini, Yinson Production merupakan antara pemilik dan pengendali FPSO bebas terkemuka dunia dengan portfolio aset luar pesisir yang pelbagai.

 

t

 

Syarikat itu turut mempunyai buku tempahan kira-kira AS$19.3 bilion yang dijangka berlanjutan sehingga tahun 2050, memberikan visibiliti pendapatan jangka panjang.

 

Yinson Production mengendalikan 11 buah FPSO dengan kehadiran di 11 negara di seluruh dunia.

 

Syarikat juga menekankan pembangunan penyelesaian lebih mampan melalui konsep Zero Emissions FPSO yang menyokong usaha penyahkarbonan industri tenaga luar pesisir.

 

Yinson Production merupakan sebahagian daripada Yinson Holdings Berhad yang turut terlibat dalam tenaga boleh diperbaharui melalui Yinson Renewables serta teknologi hijau melalui Yinson GreenTech.- DagangNews.com