KUALA LUMPUR 26 Mei — Karex Berhad berdepan dengan tempoh paling mencabar sejak penyenaraian apabila mencatat kerugian teras terbesar dalam sejarah syarikat tersebut, menurut penganalisis.
Bagaimanapun, mereka berpandangan cabaran itu bersifat sementara dengan produk kondom sintetik baharu berasaskan nitril yang dibangunkan berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan mulai FY27.
AmInvestment Bank mengekalkan syor 'beli' tetapi harga sasaran (TP) menjadi 60 sen berbanding 85 sen, manakala RHB Research menaik taraf kepada 'beli' daripada 'neutral' dengan TP kekal 56 sen.
"Kerugian teras Karex sebanyak RM5.3 juta bagi 3QFY26 di bawah jangkaan berikutan prestasi lemah segmen tender yang terkesan oleh gangguan pembiayaan bantuan kemanusiaan global," jelas AmInvest.
Firma penyelidikan tersebut berkata, walaupun segmen tender menawarkan margin keuntungan yang rendah, ia penting bagi menyokong penggunaan kapasiti kilang dan penyerapan kos tetap operasi.
Ia namun percaya permintaan tender akan kembali pulih beransur-ansur kerana kondom kekal sebagai produk penting program pencegahan HIV, penyakit kelamin dan perancangan keluarga di seluruh dunia.
Ujar AmInvest, jualan kondom sintetik Karex merosot separuh kepada AS$2 juta (kira-kira RM7.9 juta) pada suku tersebut, namun ia bukannya berpunca daripada kelemahan permintaan pasaran global.
"Sebaliknya, syarikat menjalankan proses penambahbaikan produk dan pengesahan teknikal, termasuk menghentikan sementara beberapa barisan pengeluaran komersial bagi tujuan penilaian," tambahnya.
Pada ketika ini jelas firma penyelidikan tersebut, kumpulan itu sudah memiliki sejumlah sembilan barisan pengeluaran kondom sintetik dengan tiga lagi dijangka beroperasi menjelang Jun 2026.

Sementara itu, RHB Research menyifatkan prestasi suku ketiga FY2026 sebagai antara paling lemah sejak Karex disenaraikan menjadikan kerugian terkumpul bagi sembilan bulan FY26 ialah RM2.5 juta.
Katanya, penyusutan mendadak nilai dolar Amerika Syarikat AS berbanding baht Thailand dan ringgit Malaysia, selain tekanan tarif perdagangan menjejaskan margin keuntungan kasar hingga susut 27%.
"Pendapatan bahagian produk kesihatan seksual turut merosot sebanyak 14% suku ke suku (QoQ) akibat jualan komersial yang didapati lebih perlahan dan pengurangan jumlah tempahan semasa," katanya.
Bagaimanapun, RHB Research berkata Karex berjaya melaksanakan kenaikan harga jualan purata (ASP) mencecah 10% sejak awal 2026 dan menjangkakan syarikat menerima bayaran balik penuh tarif AS.
Kenaikan harga produk yang kelazimannya kekal untuk tempoh panjang berpotensi meningkatkan margin keuntungan secara ketara sekiranya harga bahan mentah yang berasaskan petroleum kembali stabil.
Ia menjelaskan terdapat tempoh kelewatan antara tiga bulan bagi kontrak komersial dan hingga sembilan bulan bagi kontrak tender sebelum kenaikan harga dapat diterjemahkan kepada keuntungan.
Walaupun masing-masing menyemak turun unjuran hasil jangka pendek, dua firma itu percaya FY27 menjadi titik perubahan penting kepada Karex apabila pengeluaran kondom premium dipertingkatkan.
Penilaian semasa saham Karex sudah mengambil kira sebahagian besar sentimen negatif yang sedia ada, menjadikan profil risiko dan ganjarannya lebih menarik untuk pelabur jangka panjang.
Secara keseluruhannya, kedua-dua penganalisis melihat cabaran semasa berpunca daripada faktor luaran seperti isu tukaran mata wang, kos bahan mentah dan kelewatan pemulihan pasaran tender.
Sementara prospek pertumbuhan jangka sederhana masih bergantung kepada kejayaan pengkomersialan produk kondom sintetik yang berpotensi mengubah perniagaan syarikat. - DagangNews.com








