Setelah dibatal, Mindef timbang semula perolehan Black Hawk PUTD sama ada beli atau sewa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Setelah dibatal, Mindef timbang semula perolehan Black Hawk PUTD sama ada beli atau sewa

Helikopter Black Hawk dikenali dengan keupayaan terbaik dalam operasi.
Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam proses menilai semula kaedah terbaik mendapatkan helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat. (PUTD).

 

Keputusan tersebut dijangka dimuktamadkan pada tahun ini.

 

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kaedah berkenaan melibatkan sama ada perjanjian pendekatan kerajaan dengan kerajaan (G2G) atau sewaan.

 

Ini termasuk meneliti aspek harga sebelum menentukan kaedah terbaik untuk mendapatkan pesawat berkenaan berdasarkan kaedah yang sesuai.

 

Helikopter

 

"Kita ada banyak model pada hari ini, sama ada G2G atau sewaan dan perbandingan serta penilaian akan dilakukan sebelum diputuskan.

 

Kita cuba selesaikan tahun ini," katanya kepada pemberita dalam satu program di Melaka semalam.

 

Adly berkata, tender terbuka perolehan helikopter berkenaan akan dibuat sekiranya ada keperluan dan jika terdapat banyak pihak yang boleh memberi jaminan kepada kerajaan bahawa aset itu boleh diperolehi.

 

Kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan ini merupakan perkembangan terbaru berhubung hasrat Tentera Darat untuk mendapatkan helikopter Black Hawk setelah dibatalkan.

 

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bulan lepas memberitahu, pihaknya merancang untuk membuka semula tender kontrak sewaan helikopter UH-60 Black Hawk.

 

 

Helikopter
Anggota Tentera Darat semasa berlatih menggunakan helikopter Black Hawk.

 

Helikopter

 

Helikopter

 

Katanya, perancangan itu dilakukan selepas syarikat dilantik sebelum ini gagal membuat penghantaran mengikut tarikh ditetapkan.

 

Nilai kos sewaan yang ditetapkan adalah di bawah harga RM200 juta bagi 4 buah helikopter untuk tempoh 5 tahun.

 

Difahamkan beberapa syarikat telah pun mengemukakan kertas cadangan bagi menawarkan diri untuk membekalkan pesawat berkenaan.

 

Walaupun kontrak perolehan Black Hawk secara sewaan telah dibatalkan Mindef pada November lalu, namun helikopter jenis tersebut masih menjadi pilihan Tentera Darat.

 

Ini kerana Tentera Darat sejak awal-awal lagi telah menetapkan bahawa kriteria helikopter utiliti yang bakal dimiliki untuk menggantikan Nuri mestilah mempunyai ciri-ciri serupa.

 

Helikopter

 

Helikopter

 

Minat Tentera Darat terhadap Black Hawk telah lama berdasarkan penilaian selain prestasi penggunaan helikopter tersebut oleh beberapa negara serantau.

 

Anggota Tentera Darat juga kerap berlatih menggunakan helikopter Black Hawk, misalnya semasa latihan bersama tentera Amerika Syarikat di sini.

 

Jadi tidak hairanlah mengapa Black Hawk kekal menjadi pilihan angkatan tersebut selain kebolehan pesawat melakukan sebarang misi termasuk mengangkut meriam secara underslug.

 

Keupayaan mengangkut meriam ini adalah aspek mesti bagi Tentera Darat kerana ia diperlukan untuk memindahkan meriam dari satu lokasi ke satu lokasi dengan pantas.

 

Bukan sahaja meriam, turut sama diangkut ialah kru dan peluru.

 

Helikopter
Black Hawk buatan Türkiye.

 

Helikopter

 

Dengan jumlah 5,000 helikopter Black Hawk dioperasikan di seluruh dunia, ternyata helikopter tersebut adalah calon terbaik untuk PUTD.

 

Jika pembelian secara G2G dibuat, Mindef boleh membuat tawaran terus kepada pentabdiran Washington untuk berurusan dengan syarikat pengeluar Black Hawk iaitu Sikorsky Aircraft.

 

Selain syarikat induk tersebut, Sikorsky Aircraft turut memberikan kebenaran berlesen membina helikopter Black Hawk kepada PZL Mielec di Poland dan Turkish Aerospace Industries (TAI) Türkiye.

 

Poland mengeluarkan pesawat S-70 Black Hawk iaitu satu-satunya varian eksport buatan negara itu bagi UH-60M Black Hawk.

 

Sejak 2010, PZL Mielec telah menghantar 116 buah helikopter tersebut dalam pelbagai konfigurasi kepada pelanggan dari 11 negara.

 

Helikopter
Helikopter Black Hawk tentera Filipina.

 

Helikopter

 

Filipina misalnya membeli 47 buah helikopter S-70 Black Hawk buatan Poland.

 

TAI pula membina varian T-70 Black Hawk menerusi pemasangan tempatan kepada angkatan tentera negaranya.

 

Pada 2016, TAI menandatangani perjanjian AS$3.5 bilion dengan Sikorsky Aircraft membina 109 helikopter jenis T-70 Black Hawk.

 

Selain membina helikopter T-70 Türkiye, TAI juga memasang helikopter S-70i bagi pihak Sikorsky Aircraft untuk dijual di pasaran antarabangsa.

 

Helikopter

 

Perkembangan mengenai cadangan helikopter Black Hawk ini sudah pasti menarik minat beberapa syarikat termasuk luar negara untuk merebut kontrak itu.

 

Sama ada kontrak beli atau sewa, kaedah perniagaan itu masih menguntungkan kepada mana-mana syarikat pembekal.

 

Semestinya ada syarikat yang cuba mengintai peluang semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) di Langkawi Mei nanti. - DagangNews.com