Sersol menang kontrak RM15.6 juta bekal perkakasan dan perisian daripada Zetrix AI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sersol menang kontrak RM15.6 juta bekal perkakasan dan perisian daripada Zetrix AI

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 7 AprilSersol Berhad menyatakan yang anak syarikat milikannya 51%, Sersol E-Solutions Sdn Bhd (SES) memperoleh kontrak bernilai RM15.62 juta daripada Zetrix AI Berhad.


Tender baharu tersebut jelas kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, bagi membekalkan perkakasan serta perisian, serta turut menyediakan perkhidmatan sokongan teknikal.


Tambahnya, di bawah perjanjian yang dimeterai secara rasmi pada 6 April 2026 itu, SES akan membekalkan produk perkakasan, serta memberikan langganan penggunaan perisian selama 12 bulan.


"Kontrak ini mempunyai tempoh awal selama satu tahun dan boleh diperbaharui untuk tempoh tambahan setahun lagi, tertakluk kepada notis awal sekurang-kurangnya 30 hari oleh Zetrix," kata Sersol.


Bagaimanapun ujar kumpulan berkenaan, Zetrix pada masa sama masih mempunyai hak untuk menamatkan perjanjian dalam tempoh tersebut dengan pemberian notis secara bertulis dalam masa 14 hari.


Lembaga Pengarah Sersol menjangkakan kontrak berkenaan akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan, pendapatan sesaham serta aset bersih syarikat sepanjang tempoh perjanjian tersebut.


Katanya, tender berkenaan dijangka tidak memberi sebarang kesan kepada modal saham terbitan atau pegangan pemegang saham utama kerana tidak melibatkan apa-apa penerbitan saham baharu.


"Syarikat ini turut menjelaskan yang kontrak itu tertakluk kepada risiko perniagaan biasa seperti isu kelewatan penyiapan kerja dan lebihan kos, selain keupayaan memenuhi terma perjanjian," katanya.


Di samping itu, lembaga pengarah menegaskan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam perjanjian tersebut.


Secara keseluruhan, ia berpandangan kontrak itu adalah dalam kepentingan terbaik syarikat dan selari dengan strategi memperkukuh segmen rumusan teknologi serta perkhidmatan digital. - DagangNews.com